Suri rumah kini bergelar saudagar tisu, cikgu decoupage

Antara produk-produk seni decoupage yang dilakukan oleh Ida Azrin ketika tinjauan di kediamannya baru-baru ini. Foto Bernama
Antara produk-produk seni decoupage yang dilakukan oleh Ida Azrin ketika tinjauan di kediamannya baru-baru ini. Foto Bernama
A
A
A

KLANG - Sebaik melangkah masuk ke kediaman seorang wanita di sini, mata pastinya tertancap pada ribuan koleksi tisu pelbagai corak dan motif seperti bunga-bungaan dan abstrak, disusun rapi di beberapa sudut rumahnya.

Namun ia bukanlah sekadar tisu kerana diimport dari Jerman dan dijadikan sebagai item utama dalam decoupage, iaitu seni tampalan menggunakan tisu bercorak dengan teknik gunting dan tampal di atas permukaan seperti kayu, plastik, porcelain, besi, botol dan pelbagai lagi bahan yang boleh dikitar semula.

Ida Azrina Zainal Abidin, 49, dari Taman Kapar Indah Klang di sini, berkata, sehingga kini, beliau memiliki lebih 3,000 koleksi tisu pelbagai corak dan saiz yang dijualnya secara dalam talian seperti telegram dengan nama saluran ‘saudagar tisu’.

Ida Azrina menunjukkan koleksi tisu yang digunakan untuk melakukan seni decoupage ketika tinjauan di kediamannya baru-baru ini. Foto Bernama
Ida Azrina menunjukkan koleksi tisu yang digunakan untuk melakukan seni decoupage ketika tinjauan di kediamannya baru-baru ini. Foto Bernama

Suri rumah sepenuh masa yang turut mengadakan kelas seni decoupage berkata beliau membeli tisu berkenaan untuk dijual kepada pelanggannya yang turut sama mengusahakan seni kraf tersebut sebagai perniagaan yang kini dilihat semakin menjadi trend.

Menceritakan perjalanannya dalam bidang decoupage, beliau mula mempelajari seni berkenaan sejak 10 tahun lepas, dengan membeli pelbagai buku, selain belajar dengan seorang cikgu yang dikenalinya di Ampang, sehinggalah beliau mahir dan mula menerima tempahan orang ramai.

Ibu kepada enam anak itu berpendapat seni decoupage mempunyai potensi tinggi untuk menjana pendapatan kerana mereka yang berminat dengannya boleh mengembangkan kreativiti mereka melalui pelbagai teknik ke atas pelbagai permukaan atau objek yang diingini.

"Permintaan sekarang agak memberangsangkan, sejak kebelakangan ini orang ramai berminat dengan mangkuk tingkat yang dihias dengan decoupage ini,” katanya kepada Bernama.

Ida Azrina berkata, ketika hasil buatannya menerima tempahan yang tinggi, beliau turut mendapat permintaan ramai pihak untuk menurunkan ilmu seni tersebut melalui kelas-kelas secara dalam talian serta bersemuka dan kini beliau menumpukan 100 peratus aktivitinya untuk mengajar seni kraf tersebut.

Beliau juga tidak menang tangan apabila jadual hariannya agak sibuk kerana mengadakan kelas kepada kumpulan individu seperti suri rumah, ibu tunggal, selain jabatan kerajaan dan pensyarah kolej komuniti.

Bukan itu sahaja, beliau turut berbangga kerana ada juga pelajarnya yang sanggup datang dari negara jiran seperti Brunei dan Singapura untuk ‘berguru’ dengannya secara bersemuka dan menunjukkan minat yang amat tinggi.

"Kebiasaanya pelajar saya ada minat mendalam terhadap seni ini sebab mereka berhasrat untuk menjadikannya sebagai perniagaan. Sebab itu ada yang cuba untuk belajar melalui YouTube. Tapi hasilnya tidak sama dengan belajar dengan guru secara praktikal dan interaktif," katanya.

Sementara itu, seorang penjawat awam, Hasnita Ibrahim, 54, yang pernah mengikuti kelas anjuran Ida Azrina sebelum ini berkata minat yang mendalam pada seni berkenaan menjadikan beliau tidak kisah melalui proses yang renyah dan memakan masa untuk menghasilkan produk seni itu.

Malah, beliau mengakui seni decoupage adalah terapi buatnya yang memberi ruang berkreativiti selain mendidik untuk lebih fokus kerana setiap langkah pembuatan memerlukan ketelitian bagi mendapatkan hasil yang cantik dan sempurna.

"Proses seni decoupage akan dimulakan dengan menggosok kertas pasir pada permukaan bahan-bahan hiasan terpilih seperti kayu dan plastik, disusuli dengan sapuan gesso (cat khusus), dibiarkan kering dan diteruskan dengan olesan glaze.

"Corak pada tisu kemudian akan dipotong dan ditampal dan perlu disapu vanish untuk proses terakhir bagi mengilatkan permukaan hasil seni dan menjadikannya kalis air," katanya.

Sempena Aidilfitri, Hasnita turut menghasilkan projek kerepek raya menggunakan balang plastik yang penutupnya dihiasi seni decoupage dengan setiap satu dijual pada harga RM14, manakala set kecil yang mempunyai enam bekas kerepek berharga RM60. - Bernama