Harimau Muda tak gentar aura Thailand

Kesebelasan skuad B-23 negara. - Foto Facebook FAM
Kesebelasan skuad B-23 negara. - Foto Facebook FAM
A
A
A

REPUTASI gah Thailand pasukan pilihan selain pernah beberapa kali memenangi pingat emas Sukan SEA, tidak menggentarkan skuad Bawah 23 Tahun (B-23), negara menjelang aksi sulung Kumpulan B, Sukan SEA, Hanoi 2021 berdepan skuad Gajah Perang di Stadium Thien Truong, Nam Dinh pada Sabtu.

Perkara itu ditegaskan pengendali skuad B-23 negara, Brad Maloney apabila menegaskan skuad kendaliannya itu bakal memberikan aksi terbaik bagi mencatatkan kejayaan pada aksi berkenaan.

“Kita menghormati Thailand pada perlawanan sulung kita kali ini kerana mereka adalah pasukan pilihan selain telah banyak kali muncul juara.

“Tetapi dalam masa sama, kita tidak gentar dengan reputasi mereka itu kerana skuad kendalian saya akan sentiasa bersikap positif tanpa mengira lawan yang bakal dihadapi.

“Justeru, dengan senario seperti ini, kami yakin mampu mencatat keputusan positif kali ini,” katanya.

Skuad B-23 negara mengadakan persiapan terakhir sebelum berdepan Thailand pada Sabtu. - Foto Facebook FAM
Skuad B-23 negara mengadakan persiapan terakhir sebelum berdepan Thailand pada Sabtu. - Foto Facebook FAM

Selain Thailand, skuad B-23 negara juga bakal berdepan Laos pada 11 Mei, Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei), di Stadium Thien Truong, Nam Dinh.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan aksi terakhir sempena Kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Mongolia, Oktober tahun lalu.

Pada edisi Filipina 2019 lalu, skuad B-23 negara gagal melepasi saingan peringkat kumpulan apabila hanya mencatatkan kemenangan 4-0 ke atas Timor Leste, terikat 1-1 dengan Myanmar sebelum tewas 0-1 kepada Filipina dan (1-3 ) kepada Kemboja.

Sementara itu, pengendali Thailand, Alexander Polking tidak melihat skuad kendaliannya sebagai pasukan pilihan sebaliknya menyifatkan Vietnam dan Indonesia sebagai dua pasukan yang perlu diberikan perhatian kali ini.

“Vietnam dan Indonesia adalah dua pasukan yang dilihat memiliki potensi terbaik untuk muncul selaku juara Sukan SEA kali ini berdasarkan kepada persediaan yang dilakukan.

“Bagaimanapun, kami akan menggunakan sistem yang sama seperti pasukan kebangsaan di Piala Suzuki AFF 2020 lalu dalam misi mengecap kejayaan di sini,” katanya.