Penilaian bank digital selaras undang-undang: BNM

Nor Shamsiah
Nor Shamsiah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, menerusi temu bual secara eksklusif bersama Bernama, berkongsi butiran terperinci mengenai penilaian dan pemilihan lima konsortium bagi lesen bank digital.

Soalan 1: Mengapa BNM membuka pintu bagi bank digital? Memandangkan bank-bank tradisional yang ada sekarang telah mula melaksanakan pendigitalan dalam operasi mereka, apa lagi yang boleh dilakukan oleh bank-bank ini?

Penyertaan bank digital merupakan sebahagian daripada wawasan menyeluruh yang kami rancang bagi sektor kewangan. Dalam Rangka Tindakan Sektor Kewangan yang kami keluarkan baru-baru ini, tema utama yang kami tekankan adalah "kewangan untuk semua”.

Bagi Bank Negara Malaysia, ia adalah untuk memastikan pelanggan mempunyai pilihan lebih meluas dalam perkhidmatan kewangan bagi memenuhi keadaan dan keperluan khusus mereka. Dengan cara ini, penyertaan bank digital dijangka merangsang pengenalan model perniagaan inovatif dan produk serta perkhidmatan baharu.

Dengan sektor perbankan yang lebih dinamik, keperluan semua segmen ekonomi akan seterusnya dapat dipenuhi dengan lebih baik - bukan untuk hari ini sahaja tetapi juga pada masa hadapan. Apa yang lebih penting, bank digital baharu itu dijangka dapat menangani keperluan kewangan yang tidak dapat dipenuhi bagi segmen pelanggan yang kurang mendapat perkhidmatan dan tidak mendapat perkhidmatan.

Kami terutamanya mahu memanfaatkan potensi teknologi inovatif bagi menambah baik akses, mengurangkan kos dan meningkatkan utiliti dan kualiti perkhidmatan kewangan kepada kumpulan seperti perniagaan kecil, pekerja ekonomi gig dan golongan belia atau pelajar.

Menerusi penggunaan teknologi yang lebih meluas dan model pertama digital, sistem kewangan akan dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada komuniti kita, Dengan persaingan sengit daripada bank digital, kita juga menjangkakan bank-bank tradisional akan mempercepatkan rancangan digital mereka.

Pelanggan juga boleh mengharapkan produk yang lebih baik bagi memenuhi keperluan mereka, yang didayakan oleh analitik data. Sebagai contoh, bagi pelanggan dengan sejarah kekangan kredit, penskoran kredit yang berdasarkan kepada data alternatif mungkin dapat membantu merapatkan jurang pembiayaan.

Penggunaan teknologi yang lebih baik juga berpotensi dapat menawarkan instrumen pengurusan kewangan yang diperibadikan bagi menggalakkan tingkah laku kewangan bertanggungjawab dan membantu pelanggan mengawal kewangan mereka, seperti memantau perbelanjaan dengan lebih baik atau untuk menggalakkan simpanan mikro.

Oleh itu, bagi meningkatkan peluang kepada semua untuk menyertai ekonomi dan menambah baik kesejahteraaan mereka kita perlu mengambil pendekatan perkhidmatan kewangan yang lebih holistik.

Soalan 2: Boleh Tan Sri jelaskan mengenai proses dan kriteria pelesenan untuk bank-bank digital?

Kriteria yang diguna pakai oleh BNM dalam penelitian permohonan yang diterima bukanlah sesuatu yang dibuat secara mudah atau sewenang-wenangnya. Ini sebaliknya berpandukan apa yang telah digariskan dalam Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 serta Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

Secara ringkasnya, pertimbangan utama bagi penilaian itu adalah keupayaan bank-bank digital ini untuk beroperasi secara selamat dan kukuh selain dapat memberi cadangan nilai yang mantap untuk memacu keterangkuman kewangan yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.

Memandangkan bank-bank ini mengambil deposit daripada orang awam, maka aspek perlindungan deposit ini amat diutamakan oleh BNM bagi mempertimbang permohonan-permohonan tersebut.

Sejajar dengan pengumuman bahawa hanya lima lesen yang akan dikeluarkan, proses bagi pemilihannya juga amat kompetitif. Kesemua 29 permohonan yang diterima itu telah kami nilai secara teliti berdasarkan merit masing-masing dengan setiap permohonan terbabit dinilai oleh beberapa kumpulan dari pelbagai sudut.

Setiap permohonan itu kemudiannya dinilai berbanding permohonan lain bagi menentukan kekuatan relatif mereka serta mengenal pasti lima permohonan yang terbukti menepati objektif serta keperluan kerangka perbankan digital.

Jika diteliti profil lima pemohon yang berjaya, terdapat banyak elemen yang menjadikannya lebih menonjol atau berbeza daripada lainnya.

Pemohon terbabit telah mengemukakan nilai yang kukuh serta boleh dipercayai yang berteraskan pemahaman mendalam terhadap sasaran segmen pasaran masing-masing dalam kalangan komuniti yang kurang atau tidak mendapat perkhidmatan itu.

Produk serta perkhidmatan yang akan ditawarkan juga memaparkan keperluan tersebut dengan menangani jurang pasaran khusus dalam kalangan segmen kurang atau tidak mendapat perkhidmatan itu yang kebanyakannya melibatkan komuniti Bumiputera seperti perniagaan kecil serta pekerja ekonomi gig.

Mereka juga dapat menunjukkan bagaimana untuk mencapat sasaran itu menerusi penggunaan aplikasi teknologi yang inovatif serta membangunkannya berdasarkan prestasi rekod perniagaan sedia ada.

Pemohon yang berjaya juga telah menunjukkan bagaimana mereka akan menguruskan operasi secara berkesan atau cekap. Ini termasuk kemampuan untuk mematuhi standard kewangan, tadbir urus dan risiko yang bertujuan melindungi pendeposit bagi tempoh secara berterusan.

Selain itu, mereka juga telah menunjukkan keupayaan pengurusan risiko teknologi yang kukuh dan amat penting bagi operasi bank digital.

Malah, saya juga tidak pasti sama ada ramai menyedari, namun, sekiranya anda melihat kembali pengalaman bank-bank digital di seluruh dunia, anda akan mendapati kebanyakannya jarang-jarang mencatatkan keuntungan semasa tempoh awal beroperasi. Perbankan merupakan perniagaan untuk jangka panjang, dan ia bukan perniagaan yang mudah untuk diceburi.

Semasa proses penilaian, sehubungan itu, kami menjalankan analisis yang teliti terhadap kapasiti kewangan dan operasi pemohon untuk menentukan sama ada mereka mempunyai kaedah untuk menubuhkan dan mengembangkan bank digital berdasarkan perniagaan, teknologi dan rancangan keluar yang mantap dan boleh dipercayai (sekiranya mereka masih membuktikan tidak berjaya).

"Kami turut melihat melangkaui tempoh tiga hingga lima tahun bermulanya operasi bank digital -- apa yang kita namakan sebagai ‘fasa asas’ - untuk menilai sama ada bank digital itu mungkin berupaya memenuhi keperluan modal minimum yang lebih tinggi sebanyak RM300 juta yang akan digunakan setanding dengan bank-bank berlesen lain.

Memandangkan bank digital akan menerima deposit daripada orang ramai dan orang ramai yakin dan berharap deposit mereka selamat dan dilindungi, kami melaksanakan penilaian ini dengan sangat teliti.

Akhir sekali, saya juga ingin menambah bahawa adalah penting untuk kita melindungi integriti proses penilaian ini, memastikan ia dijalankan secara objektif dan tidak berat sebelah. Pelbagai semak dan imbang diadakan.

Sebagai contoh, semua yang terlibat dengan proses penilaian ini perlu mengisytiharkan sekiranya mereka mempunyai sebarang minat dengan mana-mana pemohon, misalnya sama ada mereka memiliki sebarang pemegangan saham terhadap mana-mana pemohon, atau rakan-rakan atau anggota keluarga yang berkhidmat di sana.

Penilaian tertakluk kepada pelbagai peringkat semakan dan cabaran, melibatkan penyeliaan, teknologi dan pasukan risiko pakar kami. Penilaian ini kemudiannya tertakluk kepada peringkat selanjutnya semakan pengurusan bank ini.

Semua ini menunjukkan bahawa aia adalah satu proses yang sukar. Bagaimanapun, pemberian lesen perbankan baharu ini merupakan sesuatu yang tidak selalu kami lakukan, maka, amat penting untuk kami melaksanakannya dengan tepat.

Soalan 3: Terdapat kebimbangan yang disuarakan pihak tertentu bahawa lima penerima lesen Bank Digital yang diumumkan baru-baru ini kurang penyertaan daripada syarikat Bumiputera. Boleh Tan Sri berikan pandangan.

Dua konsortium iaitu Boost-RHB dan KAF Investment Bank majoritinya dimiliki oleh Bumiputera. Sementara itu, konsortium lain yang berjaya turut mempunyai pemegangan saham Bumiputera.

Secara umumnya, pegangan saham Bumiputera dalam sistem kewangan juga ketara, iaitu pada 43.5 peratus, lebih tinggi daripada yang dilihat dalam sektor ekonomi lain.

Sektor kewangan juga menyediakan pekerjaan kepada ramai Bumiputera, dengan ramai yang memegang jawatan di peringkat kepimpinan di institusi kewangan negara: 54 peratus daripada ketua pegawai eksekutif dan 50 peratus daripada ahli lembaga pengarah adalah Bumiputera.

Sehubungan itu, adalah lebih penting bagi kita untuk melihat isu ini bukan hanya sekadar kepada pemegangan saham tetapi kepada impak yang kita harapkan dan mahukan daripada bank digital - iaitu untuk menyediakan perkhidmatan dengan berkesan kepada segmen yang kurang atau tidak mendapat perkhidmatan kewangan, yang kebanyakannya daripada komuniti Bumiputera.

Pada akhirnya, bank digital yang kukuh dan berjaya akan memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia.

Soalan 4: Mengapa BNM hanya menawarkan 5 lesen dan adakah lebih banyak lagi lesen akan dikeluarkan pada masa akan datang?

Pada masa ini, kami tidak mempunyai rancangan untuk mengeluarkan lebih banyak lesen selain daripada lima yang telah diumumkan.

Tumpuan segera kami adalah untuk memastikan bahawa bank digital dapat memulakan operasi tanpa sebarang penangguhan, supaya mereka mula menyampaikan proposisi nilai yang dijanjikan bagi memenuhi keperluan segmen yang kurang atau tidak mendapat perkhidmatan kewangan.

Dalam memutuskan untuk memberikan lima lesen, BNM mempertimbangkan banyak faktor, seperti saiz sistem perbankan kita berbanding ekonomi. Ia bukan seperti "lebih banyak, lebih meriah!"

Adalah penting bagi kita untuk mengimbau kembali keadaan pada 1990-an, yang mana kita mempunyai sejumlah besar bank domestik, tetapi kebanyakannya tidak mempunyai kekuatan kewangan, saiz dan skala untuk beroperasi secara berdaya maju atau bersaing dengan berkesan.

Apa yang jelas, rakyat Malaysia tidak memerlukan jumlah bank yang lebih banyak. Kita juga tidak boleh melupakan krisis kewangan Asia yang mana ekonomi negara mengalami kemelesetan yang paling teruk disebabkan oleh beberapa bank lemah yang gagal - dengan kesannya ditanggung oleh pembayar cukai. - Bernama