Task force siasat kematian doktor pelatih

Khairy Jamaluddin. Gambar kecil: Ciapan Khairy mengenai task force bagi menyiasat insiden kematian doktor pelatih HPP pada April lalu.
Khairy Jamaluddin. Gambar kecil: Ciapan Khairy mengenai task force bagi menyiasat insiden kematian doktor pelatih HPP pada April lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menubuhkan sebuah pasukan bertindak atau task force bebas bagi menyiasat kes kematian seorang doktor pelatih yang bertugas di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 17 April lalu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, perkara tersebut termasuklah budaya buli yang didakwa berlaku.

"@KKMPutrajaya akan menubuhkan sebuah 'taskforce' bebas untuk siasat kes ini dan juga budaya 'buli' yang didakwa berlaku," maklumnya menerusi ciapan di Twitternya pada Jumaat.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dilapor menggesa Khairy menubuhkan jawatankuasa siasatan khas berhubung kematian doktor terbabit.

Exco Pertanian, Industri Berteraskan Pertanian, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin turut dilapor menggesa KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) memberi penjelasan berhubung doktor pelatih yang baru ditempatkan di HPP dan dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan di Jalan Datuk Keramat.

Mengulas lanjut, Khairy mengakui, pihaknya juga telah menerima laporan awal mengenai kematian doktor pelatih yang berusia 25 tahun terbabit daripada ketua jabatannya di Pulau Pinang.

"Saya telah menerima laporan awal mengenai kematian seorang doktor pelatih dari ketua jabatan mendiang di Pulau Pinang.

"Pihak polis juga sedang lengkapkan siasatan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang pegawai perubatan siswazah yang baharu ditempatkan di HPP pada 4 April lalu, dipercayai terjatuh dari tingkat 23 pangsapuri yang disewanya di Jalan Datuk Keramat di George Town pada 17 April lalu.