Dassault Aviation mahu perluas segmen perniagaan jet di Malaysia

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PENGELUAR pesawat Perancis, Dassault Aviation, merancang untuk memperkukuh operasinya di Malaysia terutamanya dalam segmen perniagaan jet berikutan peningkatan permintaan daripada komuniti perniagaan dan pengambilalihan sebuah penyedia perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) tempatan baru-baru ini.

Presiden Dassault Aviation Asia Pacific Jean-Michel Jacob berkata Malaysia menawarkan peluang yang luas untuk syarikat mengembangkan segmen perniagaan jet kerana bilangan tinggi syarikat di Malaysia mengeksport ke luar negara serta beroperasi di pasaran global.

"Keperluan bagi perkhidmatan udara secara langsung dan memaksimumkan masa oleh komuniti perniagaan akan menjadi pemacu untuk kami dalam segmen tersebut, selain itu, pengambilalihan Execujet Malaysia Sdn Bhd melengkapi matlamat kami untuk berkembang di Malaysia dan rantau ini " katanya pada sidang media di sini hari ini.

Jacob berkata jumlah perniagaan jet di Malaysia adalah kira-kira 60 pesawat.

"Sepuluh pesawat adalah dari Dassaults dan selebihnya adalah dari pengeluar lain, kami juga jangka untuk menyerahkan sebanyak 120 pesawat di Asia Pasifik dan 12 daripadanya akan diserahkan pada tahun ini," jelasnya.

Mengulas mengenai perniagaan MRO, beliau berkata kilang Execujet di Subang akan menyokong pertumbuhan perniagaannya, dalam pada itu industri aeroangkasa turut dikenal pasti oleh kerajaan Malaysia sebagai bidang yang berpotensi tinggi telah meningkatkan keyakinan Dassault Aviation di pasaran tempatan.

Mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai langkah-langkah yang mungkin akan diambil Malaysia dengan beralih kepada jet pesawat tempur dari China dan bukan dari syarikat Eropah berikutan pengharaman minyak sawit oleh Kesatuan Eropah, Jacob berkata: “Ia melibatkan isu antara kerajaan dan kerajaan, saya tidak akan memberi komen berkaitan politik.”

Malaysia dilaporkan sedang mempertimbangkan pembelian 18 buah pesawat Rafale dari Perancis bernilai kira-kira RM8.25 bilion dalam rancangannya untuk menggantikan pesawat tempur buatan Rusia, Mig-29, kerana beberapa buah pesawat itu tidak berfungsi dengan baik.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengurus Besar Execujet (Execujet) Malaysia Ivan Lim berkata syarikat akan mempercepatkan pelan pengembangannya untuk menampung penempatan jet Falcon terdiri daripada Falcon 6X, Fa;con 7X, Falcon 8X, Falcon 900LX, Falcon 2000LXS dan Falcon 2000s.

"Kami akan menambah keupayaan penyelenggaraan menjelang akhir tahun untuk jenis Dassault yang terpilih iaitu 8X, 7X dan 2000 manakala model-model lain akan ditambah secara berperingkat," katanya sambil menambah syarikat kini mengendalikan antara 30 hingga 35 pesawat secara bulanan.

Lim berkata syarikat pada masa ini menyelenggara dua jenis pesawat iaitu Bombardier dan Gulfstream.

Execujet adalah perniagaan penerbangan MRO terbesar di Malaysia, beroperasi di kawasan seluas 64,000 kaki persegi di lapangan terbang Subang.

"Kami bercadang untuk memperluas kemudahan kami kepada 150,000 kaki persegi termasuk menyediakan sebuah hangar, pejabat dan bengkel dan menyasarkan perkhidmatan MRO secara bulanan antara 40 hingga 50 pesawat tahun depan selepas projek peluasan itu selesai nanti,” katanya.

Pengambilalihan perniagaan MRO ExecuJet adalah sebahagian daripada komitmen global Dassault Aviation untuk mengukuhkan dan mengembangkan rangkaian sokongan pelanggan sedia ada dan pengambilalihan itu merupakan MRO pertama dimiliki Dassault di Asia. -Bernama