Leopard Racing berminat ganti Suzuki

Pelumba Leopard Racing, Dennis Foggia - Foto MotoGP
Pelumba Leopard Racing, Dennis Foggia - Foto MotoGP
A
A
A

PASUKAN Leopard Racing dilaporkan berminat untuk menggantikan pasukan Suzuki bagi mengharungi saingan Kejuaraan Grand Prix (GP) Motosikal Dunia (MotoGP).

Perkara itu didedahkan pemilik pasukan Leopard, Christian Lundberg yang mendakwa berminat dengan perkara berkenaan dan sudah memaklumkan kepada pihak Dorna Sports.

Menurut Lundberg, pihaknya bagaimanapun akan meneliti lebih lanjut perkara itu sebelum keputusan dimuktamadkan.

“Kami memang berminat dalam perkara ini (menggantikan Suzuki) tetapi dalam masa sama mahu melihat lebih lanjut mengenai perkara berbangkit. Lagi pun, kami difahamkan ia turut melibatkan kontrak sehingga 2026.

“Oleh itu, kami tidak fikir pihak Suzuki akan meninggalkannya begitu sahaja, namun jika pihak Dorna Sports membenarkan kami berbuat demikian (menggantikan Suzuki), kami sedia menerimanya,” katanya.

Pasukan Suzuki sebelum pernah membuat kenyataan mahu meninggalkan arena MotoGP pada penghujung musim ini.

Pasukan itu juga difahamkan mahu membuat pengumuman berhubung perkara berkenaan Selasa lalu namun sehingga kini masih tiada sebarang kenyataan.

Untuk rekod, Leopard Racing pernah disertai oleh juara Moto3 pada muism 2015, Dany Kent, Joan Mir (2017) dan Lorenzo Dalla Porta pada 2019 lalu; malah, pernah ujian bagi saingan Moto2 dan Moto3 di Barcelona sebelum ini.

Sementara itu. Lundberg berkata, sekiranya semua urusan bagi menggantikan Suzuki menjadi kenyataan, pihaknya juga merancang menjalin kerjasama dengan Aprilla.

“Selain Suzuki, kami juga berminat menjalin kerjasama dengan Aprilla dan sudah memaklumkan mengenai perkara ini kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aprilla, Massimo Rivola pada saingan GP Sepanyol lalu.

“Apa pun, sebarang perkembangan mengenai pertemuan berkenaan akan dimaklumkan kemudian,” katanya.