Hepatitis akut: KKM tingkat survelan di klinik, hospital

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meningkatkan survelan bagi hepatitis akut di klinik kesihatan dan hospital seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia dibuat dengan menggunakan definisi kes yang telah dipersetujui oleh pakar perubatan klinikal dan kesihatan awam.

Menurutnya, KKM juga sedang membangunkan protokol rujukan dan pengurusan kes ‘Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Penyebabnya’.

“Dalam pada itu, pengamal perubatan di klinik kesihatan kerajaan dan swasta diminta merujuk kanak-kanak berumur satu bulan hingga kurang 18 tahun yang menunjukkan gejala jaundis dan gejala lain hepatitis akut seperti hilang selera makan, loya, muntah, kelesuan atau air kencing berwarna gelap ke hospital untuk pengurusan kes selanjutnya,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada 23 April lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui WHO Event Information Site (EIS) telah melaporkan kejadian ‘Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Penyebabnya’ (Acute Hepatitis of Unknown Aetiology) yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur antara satu bulan hingga 16 tahun.

Sehingga 21 April 2022, WHO menerima pelaporan sebanyak 169 kes melibatkan 12 negara, namun hanya satu kematian telah dilaporkan.

Bagaimanapun, penyebab hepatitis akut belum dapat ditentusahkan dan masih dalam siasatan. Dianggarkan 10 peratus daripada 169 kes yang dilaporkan memerlukan transplantasi hepar.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, hasil pemantauan buat masa ini, terdapat seorang kanak-kanak lelaki tempatan berusia empat tahun 11 bulan di Sabah dengan gejala hepatitis akut telah mendapatkan rawatan hospital di Sabah pada Mac lalu.

Ujarnya, kanak-kanak terbabit mengalami gejala jaundis, demam, kurang selera makan, loya dan muntah.

“Dilaporkan juga fungsi hepar kanak-kanak ini semakin merosot sehingga memerlukan transplantasi hepar pada 30 Mac 2022 di hospital di Lembah Klang.

“Kanak-kanak ini telah discaj dari hospital pada 21 April 2022 dalam keadaan sihat. Siasatan awal mendapati dia tidak mempunyai sejarah penyakit lain selain jangkitan SARS-CoV-2.

“Siasatan masih lagi dijalankan untuk menentukan sama ada kes ini memenuhi kriteria ‘Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Penyebabnya’,” jelasnya.