Pemandu Toyota Altis memandu di bawah pengaruh alkohol

Laporan Sinar Harian berkenaan suspek ditahan.
Laporan Sinar Harian berkenaan suspek ditahan.
A
A
A

REMBAU - Cubaan pemandu sebuah kereta Toyota Altis melarikan diri daripada diperiksa polis selepas didapati memandu dalam keadaan berbahaya dari Kilometer 223 sehingga Kilometer 169 Lebuhraya Utara Selatan(PLUS) arah selatan pada Khamis gagal selepas dia berjaya diberkas.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superitendan Hazri Mohamad berkata, lelaki berusia 24 tahun itu ditahan berhampiran susur keluar Tol Tangkak dengan bantuan pasukan kenderaan peronda lebuh raya (EMPV) Tangkak.

"Ketika pasukan EMPV Sektor 2 Pedas-Ayer Keruh membuat kawalan lalu lintas kemalangan jalan raya pada jam 11 pagi telah ternampak sebuah kereta Toyota Altis dipandu dalam keadaan berbahaya dan mencurigakan.

"Ekoran dari itu polis telah mengejar kenderaan itu dan telah berjaya menahannya di Kilometer 169 Lebuhraya Plus berhampiran susur keluar Tol Tangkak," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, ujian pernafasan terhadap suspek juga mendapati kandungan alkohol dalam badannya melebihi paras yang dibenarkan.

Ujarnya, terdapat seorang penumpang lelaki berusia 17 tahun dan ujian saringan air kencing dilakukan terhadap kedua-duanya didapati negatif.

"Semakan rekod polis mendapati pemandu yang bekerja sebagai pemandu lori mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan penumpang pula di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: