Kekangan masa uji venue bukan penghalang raih pingat

Nur Azmi (tengah) ketika merasmikan Majlis Penutup Perhimpunan Akhir Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi 2021 yang dijalankan secara atas talian di Majlis Sukan Negara (MSN) pada Khamis. Foto Berrnama
Nur Azmi (tengah) ketika merasmikan Majlis Penutup Perhimpunan Akhir Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi 2021 yang dijalankan secara atas talian di Majlis Sukan Negara (MSN) pada Khamis. Foto Berrnama
A
A
A

KEKANGAN hanya dapat menguji venue sukan terjun dua hari sebelum acara sukan itu dipertandingkan pada Sukan SEA Hanoi di Vietnam bukan satu alasan buat atlet terjun negara untuk tidak meraih pingat.

Sebaliknya, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi 2021, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, perkara itu tidak perlu diperbesarkan berikutan ia merupakan langkah waspada negara penganjur dalam menangani wabak Covid-19.

"Sukan yang pergi dua hari sebelum kejohanan bermula ini, pihak sekretariat di Hanoi telah memaklumkan kepada kita. Jadi kita perlu mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan dan untuk mempertikaikannya pun tidak boleh kerana dalam mesyuarat (Sukan SEA) pun sudah dinyatakan begitu.

"Mungkin Covid-19 yang menjurus kepada tindakan itu dilaksanakan," katanya selepas majlis penutup Perhimpunan Akhir Kontinjen Malaysia secara maya di Majlis Sukan Negara (MSN) pada Khamis.

Ditanya sama ada perkara tersebut mengganggu persiapan atlet terjun untuk meraih pingat buat kontinjen negara, beliau berkata ia bagaimanapun tidak mendatangkan kesan besar.

"Saya tak nampak apa-apa kesan sebab mereka dari sukan terjun, bukan bola sepak dan bagi saya, mereka sudah cukup matang untuk membiasakan diri dengan kolam dan hanya suasana dan ada tekanan... saya rasa (sukan) terjun tiada masalah.

"Semua negara ada kekangan dua hari itu, ia juga berlaku bagi sukan basikal bukit (MTB), dia pergi awal pun tak dapat gunakan trek di sana. Mereka (atlet) sudah berkampung di MSN dengan pelbagai fasiliti diberikan jadi apa yang penting ialah usaha atlet bagi menyumbang pingat buat negara," katanya.

Untuk rekod, para atlet terjun negara dijadualkan beraksi bermula 8 hingga 11 Mei di Pusat Akuatik Mỹ Đình.

Sementara itu, Nur Azmi dalam majlis tersebut menyeru atlet ke Sukan SEA supaya kekal fokus bagi mempamerkan aksi terbaik dalam usaha mencapai sasaran 36 pingat emas ditetapkan.

"Walaupun kita ada sasaran 36 pingat emas, saya percaya kita mampu memperoleh lebih daripada itu. Yang penting fokus pada hasrat kita yang sebenarnya," katanya. - Bernama