PM Singapura bakal terima darjah kebesaran Johor

Lee Hsien Loong - Foto Bernama
Lee Hsien Loong - Foto Bernama
A
A
A

SINGAPURA - Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan isteri, Ho Ching bakal dianugerahkan darjah kebesaran utama negeri Johor daripada Sultan Ibrahim Iskandar dalam satu majlis di Johor pada Jumaat (6 Mei), lapor The Straits Times.

Memetik kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO), menurut laporan itu, Hsien Loong dan Ho Ching akan melawat Johor bagi menghadiri majlis itu yang akan diadakan di Istana Besar di Johor Bahru.

Hsien Loong bakal dikurniakan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato' Sri Paduka Mahkota Johor (SPMJ).

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Lee Kuan Yew dan bekas Menteri Undang-Undang, E W Barker pernah menerima anugerah sama pada 1984 diikuti bekas Perdana Menteri, Goh Chok Tong pada 1991.

Sementara itu, Ho Ching menjadi warga Singapura pertama dianugerahkan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (SMIJ).

Hsien Loong dan isteri akan diiringi Menteri Hal Ehwal Luar, Vivian Balakrishnan; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Undang-undang, K Shanmugam, dan pegawai PMO dan kementerian Luar, Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi dan Penerangan.

Sultan Ibrahim juga akan meraikan Hsien Loong dan Ho Ching dalam jamuan tengah hari. - Bernama