KMDI Harta Berhad mahu selesaikan masalah air di Kelantan

Zainizan (kiri) pernah mengadakan perbincangan awal bersama Abdullah (kanan) bagi cadangan penstrukturan serta pembekalan air bersih di Kelantan.
Zainizan (kiri) pernah mengadakan perbincangan awal bersama Abdullah (kanan) bagi cadangan penstrukturan serta pembekalan air bersih di Kelantan.
A
A
A

KOTA BHARU - KMDI Harta Berhad menawarkan diri kepada kerajaan Kelantan untuk menyelesaikan masalah air di negeri ini khususnya di kawasan luar bandar yang sudah berlarutan hampir 30 tahun.

Timbalan Presiden KMDI Harta Berhad, Profesor Madya Dr Zainizan Shahdan berkata, pihaknya bercadang membina 215 loji mini melalui anak syarikat KMDI Holding Sdn Bhd menerusi fasa pertama pelan pemulihan dan penstrukturan lebih bersistematik.

"Jika diberi peluang, kami yakin dapat menyelesaikan masalah air dalam tempoh 24 bulan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Menurutnya, keberkesanan pelan pemulihan itu mula dapat dilihat dalam tempoh 12 bulan dalam pembinaan loji mini tersebut.

Beliau berkata, sebagai permulaan pembinaan loji mini contoh telah dimulakan di Klinik Kesihatan Penambang Kota Baru.

Zainizan berkata, projek tersebut dijangka siap dalam tempoh tiga minggu lagi dan kerajaan negeri boleh membuat penilaian berhubung projek tersebut.

"Loji mini yang dibina ini akan mendapatkan sumber air secara terus dari bumi. Kemudian, ia akan dirawat menjadi air bersih yang boleh terus diminum," katanya.

Menurutnya, perbincangan awal telah diadakan bersama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Abdullah Ya'kub bagi cadangan penstrukturan serta pembekalan air bersih di negeri ini.

"KMDI merupakan sebuah syarikat awam yang diperbadankan bagi menyelesaikan masalah perumahan terbengkalai dan penstrukturan air bersih.

"KMDI juga telah mendepositkan Information Memorandum kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi terbitan sahamnya berskala RM400 juta yang menggunakan kaedah Islamik," katanya.