Lelaki maut dilibas anak saudara

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

LUMUT - Akibat perselisihan faham, seorang lelaki maut selepas cedera parah akibat dilibas dengan mesin pemotong rumput oleh anak saudaranya di sebuah rumah di Sitiawan di sini pada Selasa.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 51 tahun dikatakan tidak sedarkan diri ketika dibawa ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, laporan kejadian itu diterima pada jam 4 pagi.

Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa dalam keadaan mabuk didapati sedang bergaduh dengan suspek lelaki berusia 34 tahun di hadapan rumah kerana perselisihan faham.

"Akibat pergaduhan itu, suspek didakwa mengambil mesin rumput lalu melibas ke arah kaki mangsa hingga lelaki itu mengalami kecederaan serius di bahagian kaki kiri.

"Mangsa yang tidak sedarkan diri telah dibawa untuk mendapatkan rawatan ke hospital dan disahkan meninggal dunia oleh doktor," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, suspek sudah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, siasatan awal mendapati, punca kejadian adalah disebabkan suspek tidak berpuas hati terhadap mangsa yang didakwa memburukkan namanya kepada penduduk kampung.

"Berdasarkan semakan, suspek bekerja sebagai mekanik motosikal mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

"Manakala mangsa yang tidak bekerja mempunyai sembilan rekod kesalahan lampau juga membabitkan jenayah dan penyalahgunaan dadah," katanya.