Ketua Polis Selangor gesa anggota laksana tugas dengan berintegriti

Arjunaidi
Arjunaidi
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed menggesa pegawai dan anggota polis menjalankan tugas dengan amanah, bertanggungjawab dan berintegriti.

Arjunaidi berkata, tugas kepolisan adalah mulia dan merupakan satu ibadah di sisi ALLAH SWT.

"Saya tidak melupakan jasa dan pengorbanan pegawai dan anggota polis yang bertugas bagi memastikan keamanan di negeri ini sentiasa terpelihara," katanya dalam perutusan Ketua Polis Selangor sempena Hari Raya Aidilfitri pada Ahad.

Arjunaidi turut mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang memberi sokongan dan kerjasama dalam usaha memerangi jenayah dan menentukan Selangor sentiasa selamat.

"Saya ingin menyeru kepada masyarakat agar menyertai kempen Op Selamat 18 sempena Hari Raya Aidilfitri 2022.

"Orang ramai boleh menghubungi balai polis berdekatan atau menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Petrol (VSP) untuk memaklumkan sekiranya ingin meninggalkan rumah untuk balik ke kampung," katanya.

Beliau berkata, pihak polis melakukan pemantauan dan rondaan di rumah yang ditinggalkan dan ia boleh mengurangkan risiko kejadian pecah rumah.

"Saya mendoakan agar perjalanan anda bersama keluarga selamat sampai ke destinasi, patuhi semua peraturan jalan raya dan ingatlah orang yang tersayang," ujarnya.