Sultan Ibrahim zahir ucapan tahniah kepada JDT

Foto: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Foto: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
A
A
A

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang melakar sejarah mara ke pusingan kalah mati saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) buat kali pertama.

"Saya ucapkan tahniah kepada pasukan JDT yang mempamerkan aksi cemerlang dalam semua perlawanan, dan malam tadi tercipta satu lagi kemenangan manis.

"Terima kasih juga saya ucapkan kepada penyokong yang setia bersama JDT. ‘Keep it up’,” titah baginda melalui laman Facebook milik baginda, pada Ahad.

Sementara itu, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi melahirkan rasa syukur setelah JDT melakar sejarah apabila menjadi pasukan pertama negara layak ke pusingan kalah mati ACL.

"Setinggi tahniah patik ucapkan kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan pasukan JDT atas kejayaan ini.

"Semoga ia menjadi pemangkin semangat kepada semua Bangsa Johor untuk terus maju dan mara ke hadapan. Tiada apa yang mustahil jika diizinkan Allah SWT,” katanya menerusi laman Facebook miliknya pada Ahad.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, petang semalam, JDT melakar sejarah mara ke pusingan kalah mati saingan ACL buat kali pertama selepas menundukkan gergasi Korea Selatan Ulsan Hyundai 2-1. - Bernama