TVET medium terbaik capai sasaran 35 peratus tenaga kerja mahir

Datuk Seri M Saravanan
Datuk Seri M Saravanan
A
A
A

SHAH ALAM - Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan medium terbaik bagi merealisasikan sasaran kerajaan untuk meningkatkan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi baharu dalam sektor ekonomi menjelang 2030.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, pihaknya akan berganding bahu bersama kementerian berkaitan untuk memperkasakan TVET secara holistik di bawah Majlis TVET Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui jabatan dan agensi TVET di bawahnya menyatakan komitmen dalam memperkasakan pelaksanaan TVET negara.

“Justeri KSM akan menyokong penuh inisiatif penjenamaan semula TVET dalam usaha menjadikannya pilihan utama platform penyediaan tenaga kerja berkemahiran dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Pekerja pada Ahad.

Mengulas lanjut Saravanan berkata, program usaha sama berteraskan TVET bersama industri menerusi Sistem Latihan Dual Nasional wajar diperluas dan diperkasakan bagi membantu kerajaan mencapai sasaran 35 peratus tenaga kerja mahir menjelang 2030.

"Menyedari potensi Sistem Latihan Dual Nasional ini, kerajaan bersetuju melaksanakan Sistem Latihan Dual Nasional Plus bermula pada tahun 2021 melalui peningkatan elaun sebanyak RM1,000 sebulan berbanding RM625 sebelum ini," katanya.

Dalam pada itu Saravanan berkata, KSM akan meningkatkan usaha mengkaji dan mengenal pasti cabaran masa hadapan bagi mendepani agenda Revolusi Industri 4.0.

Beliau berkata, KSM akan memberi fokus terhadap pembangunan kapasiti tenaga kerja bakat digital seperti yang digariskan dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia atau MyDIGITAL.

"Tidak hanya itu, kementerian melalui TalentCorp sudah mengambil inisiatif membangunkan 'Critical Occupational List' sejak tahun 2015.

"Ia menjadi saluran rasmi untuk mengenal pasti kemahiran dan pekerjaan yang mendapat permintaan tinggi, keperluan serta isu spesifik modal insan," katanya.