Sang Saka Biru berkumandang seluruh negara

Lintas hormat helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) di ruang udara sempena Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-212 yang dihadiri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
Lintas hormat helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) di ruang udara sempena Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-212 yang dihadiri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hari Polis ke-212 hari ini disambut penuh bangga oleh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan perbarisan, bacaan ikrar dan nyanyian lagu ‘Sang Saka Biru’ di semua Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri dan daerah di seluruh negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang hadir pada sambutan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak, di sini, memeriksa perbarisan oleh 29 pegawai dan 932 anggota PDRM dengan diiringi Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Dr Mahathir turut menyampaikan amanat yang antara lain memberi komitmen bahawa kerajaan akan tetap menyalurkan segala peruntukan diperlukan PDRM walaupun ia melibatkan kos tambahan.

Turut terlibat dengan perbarisan Hari Polis ke-212 yang mengekalkan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ itu ialah 98 aset PDRM daripada pelbagai jabatan antaranya Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Unit Tindakan Khas (UTK) dan Pasukan Polis Marin.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Peguam Negara Tommy Thomas.

Sambutan di Pulapol turut dimeriahkan dengan pameran hasil inovasi PDRM, Pelancaran Buku Garis Panduan Autisme PDRM serta sumbangan kebajikan kepada pegawai polis yang cedera dan kepada waris pegawai polis yang meninggal dunia dalam tugas. Di TERENGGANU, Hari Polis disambut dengan semangat patriotik bersama 3,647 pegawai serta anggota dan sambutan turut diadakan serentak di tujuh Ibu Pejabat Polis Daerah di negeri ini.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Datuk Allaudeen Abdul Majid membacakan amanat Ketua Polis Negara dan turut menyampaikan menyampaikan sijil penghargaan kepada 48 penerima termasuk pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan.

Di JOHOR BAHRU, sambutan Hari Polis di Dataran Kawad, IPK Johor dimulakan dengan perbarisan pada 8.29 pagi sebagai menghormati dan mengenang tarikh penubuhan pasukan polis, 25 Mac disusuli pemeriksaan kawalan kehormatan melibatkan dua pegawai kanan dan 48 anggota oleh Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Artikel Berkaitan:

Mohd Khalil seterusnya membaca perutusan Ketua Polis Negara sebelum menyampaikan sijil penghargaan kepada 137 penerima terdiri daripada pegawai dan anggota polis serta orang awam.

Di KOTA KINABALU, seramai 857 anggota dan pegawai polis menyertai perbarisan sempena sambutan Hari Polis ke-212 di perkarangan IPK Sabah. Sambutan yang bermula pukul 7.45 pagi itu dimulakan dengan pemeriksaan kawalan kehormat oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass yang kemudian membaca perutusan Ketua Polis Negara dan menyampaikan sijil integriti dan penghargaan kepada 39 penerima terdiri daripada pegawai dan anggota polis serta orang awam.

Di SARAWAK, Perbarisan Hari Polis di Padang Kawad IPK Sarawak di sini, berlangsung meriah dengan kehadiran dianggar lebih 250 anggota pelbagai pangkat dan dimulakan dengan pemeriksaan kawalan kehormatan melibatkan dua pegawai dan 53 anggota polis wanita oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim.

Beliau seterusnya membaca perutusan Ketua Polis Negara sebelum menyampaikan sijil integriti PDRM kepada 60 penerima terdiri daripada pegawai dan anggota polis, Surat Penghargaan Tolak Rasuah kepada seorang penerima serta penghargaan kepada dua orang awam.

Di KUANTAN, sambutan Hari Polis di pekarangan IPK Pahang di sini dimulakan dengan pemeriksaan kawalan kehormat melibatkan dua pegawai dan 51 anggota polis wanita oleh Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri. Beliau seterusnya membaca perutusan Ketua Polis Negara sebelum menyampaikan sijil integiriti dan penghargaan kepada 60 penerima terdiri daripada pegawai dan anggota polis serta orang awam.

Di SEREMBAN sambutan berlangsung di Padang Kawad Sekolah Latihan Kontinjen (SLAK) IPK Negeri Sembilan dan perutusan Ketua Polis Negara dibacakan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti negeri Asisten Komisioner Samad Yahya.

Pada majlis itu, seramai 47 orang pegawai dan anggota PDRM menerima sijil penghargaan manakala tiga pegawai Jabatan Penjara menerima sijil penghargaan khas. Turut menerima sijil penghargaan ialah petugas media.

Di KOTA BHARU, seramai 51 anggota termasuk dua pegawai menyertai perbarisan sempena sambutan Hari Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.

Sambutan dimulakan dengan perbarisan dan pemeriksaan kawalan kehormatan oleh Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azmi Abu Kassim yang kemudiannya membacakan perutusan Ketua Polis Negara. Pada sambutan itu, seramai 69 individu menerima surat penghargaan iaitu 16 pegawai kanan, anggota pangkat rendah (32), pegawai awam (satu), Persatuan Keluarga Polis (Perkep) (lima), pesara polis (tiga) dan pengamal media (12).

Di MELAKA, sambutan yang melibatkan 500 anggota itu turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari yang menyampaikan amanat sempena sambutan itu.

Pada majlis itu seramai 17 pegawai, anggota polis dan sokongan menerima anugerah integriti PDRM peringkat negeri.

Di PERAK, sambutan Hari Polis berlangsung secara sederhana di pekarangan IPK Perak di sini dalam keadaan hujan lebat dan disertai kira-kira 250 anggota.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Perak, Senior Asisten Komisioner Mohamad Laham yang mewakili Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid membacakan perutusan Ketua Polis Negara dan menyampaikan sijil penghargaan kepada 128 penerima terdiri daripada pegawai dan anggota polis serta orang awam. Di ALOR SETAR, sambutan diadakan dengan penuh istiadat di perkarangan IPK Kedah dengan dihadiri pelbagai lapisan warga PDRM yang bertugas di negeri ini.

Majlis dimulakan dengan pemeriksaan kawalan keselamatan oleh Ketua Polis Kedah Datuk Zainuddin Yaacob diikuti alunan lagu Sang Saka Biru oleh anggota dan pegawai sebelum diteruskan dengan bacaan doa dan ikrar polis.

Sebagai menghargai jasa pelbagai pihak yang membantu PDRM, Zainuddin turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 51 penerima daripada pelbagai kategori termasuk orang awam, pesara polis serta pihak media.

Di PULAU PINANG, sambutan diadakan di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang dan dirasmikan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Zainol Samah yang mewakili Ketua Polis Negeri, Datuk T Narenasagaran. - Bernama

Lintas hormat helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) di ruang udara sempena Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-212 yang dihadiri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama