10,000 pekerja TNB bertugas pada Syawal

Penugasan secara giliran dan tunggu sedia itu merangkumi stesen-stesen janakuasa, pusat kawalan dan seluruh rantaian perkhidmatan termasuk grid dan pencawang bagi memastikan kelancaran penghantaran dan pembahagian bekalan elektrik di samping siap siaga perkhidmatan pelanggannya.
Penugasan secara giliran dan tunggu sedia itu merangkumi stesen-stesen janakuasa, pusat kawalan dan seluruh rantaian perkhidmatan termasuk grid dan pencawang bagi memastikan kelancaran penghantaran dan pembahagian bekalan elektrik di samping siap siaga perkhidmatan pelanggannya.
A
A
A

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menugaskan hampir 10,000 tenaga kerjanya di pelbagai peringkat dalam sektor kritikal rantaian perkhidmatannya di seluruh Semenanjung bagi memastikan kestabilan bekalan eletrik ketika sambutan Aidilfitri pada minggu hadapan.

TNB dalam satu kenyataan berkata, penugasan secara giliran dan tunggu sedia itu merangkumi stesen janakuasa, pusat kawalan dan seluruh rantaian perkhidmatan termasuk grid serta pencawang.

Menurut TNB, langkah itu diambil bagi memastikan kelancaran penghantaran dan pembahagian bekalan elektrik di samping kesiapsiagaan terhadap perkhidmatan pelanggannya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din berkata, pemantauan di setiap negeri akan ditingkatkan menjelang Syawal memandangkan orang ramai dijangka pulang ke kampung lebih awal selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian.

“Terima kasih tidak terhingga kepada warga TNB yang bertugas tanpa syarat pada Aidilfitri ini dalam suasana peralihan endemik.

“Kita doakan agar mereka sentiasa sihat dan selamat menyempurnakan amanah tugas demi keselesaan semua yang menyambut lebaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

TNB berkata, tempoh 72 jam bermula sehari sebelum 1 Syawal adalah kritikal dengan jangkaan penggunaan tenaga elektrik meningkat ekoran persiapan akhir dilakukan orang ramai terutama pada malam Aidilfitri, diikuti dengan pelbagai aktiviti sambutan dua hari berikutnya.

Dalam pada itu, untuk menghargai anggotanya yang bertugas semasa tempoh perayaan, TNB mengekalkan tradisinya dengan menitipkan 9,900 pek bingkisan kuih raya yang disediakan dengan kerjasama Persatuan Wanita TNB (PELITAWANIS).

Simbolik penyerahan Bingkisan Raya TNB 2022 kepada ketua ketua bahagian TNB itu telah disempurnakan oleh Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin dalam satu majlis di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Ibu Pejabat TNB, Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.