Dua tahun beraya tanpa anak di sisi

Suasana di Rumah Jagaan Dan Rawatan Orang Tua Al Ikhlas.
Suasana di Rumah Jagaan Dan Rawatan Orang Tua Al Ikhlas.
A
A
A

PUCHONG - “Ramai anak saya, tapi apa nak buat? Ini nasib saya, saya tanggunglah”.

Demikian kata, seorang penghuni Rumah Jagaan Dan Rawatan Orang Tua Al Ikhlas, di sini, yang dikenali sebagai Zainab.

Dia yang mempunyai sembilan orang anak itu tidak dapat menyembunyikan kesedihannya apabila sudah dua tahun terpaksa beraya tanpa ahli keluarga di sisi.

Malah, Zainab berkata, meskipun masih menyimpan kerinduan terhadap anaknya, namun dia seakan sudah hilang harapan kerana tahu impian untuk kembali meraikan Aidilfitri bersama-sama agak mustahil.

“Dia (anak) pernah cakap, kalau saya duduk sini (rumah jagaan), dia kata kalau emak mati pun dia tidak akan datang. Dia cakap macam itu,” ujarnya yang sebelum ini tinggal bersendirian di sekitar Bangsar, Kuala Lumpur sejak kematian suaminya empat tahun lalu.

Rumah Jagaan Dan Rawatan Orang Tua Al Ikhlas.
Rumah Jagaan Dan Rawatan Orang Tua Al Ikhlas.

Dia mula menjadi penghuni pusat jagaan orang tua di sini sejak Mac tahun lalu selepas tiada seorang pun anaknya yang mahu menuntut sebagai waris di hospital sehingga memaksa pihak kebajikan menghantarnya ke rumah jagaan berkenaan.

Rumah Jagaan Dan Rawatan Orang Tua Al Ikhlas memaklumkan, usaha pihaknya untuk menghubungi kesemua anak Zainab sejak tahun lalu masih tidak berbalas.

Sementara itu, seorang lagi penghuni yang dikenal sebagai Abdul Rahim, 60, turut menyuarakan kesedihannya selepas sudah tiga tahun terpaksa beraya di pusat jagaan tersebut.

Bagaimanapun, Abdul Rahim berkata, dia mengakui terpaksa menerima hakikat tersebut kerana memahami situasi lima orang anaknya yang sibuk bekerja.