Tukang rumah hadapi enam pertuduhan rogol, amang seksual anak tiri

Kedua-dua tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Butterworth pada Jumaat.
Kedua-dua tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Butterworth pada Jumaat.
A
A
A

BUTTERWORTH - [DIKEMAS KINI] Seorang tukang rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth di sini atas tiga pertuduhan merogol anak tirinya yang juga kanak-kanak bawah umur sejak tahun 2020.

Tertuduh berumur 35 tahun mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya dalam bahasa Tamil di hadapan hakim Norhayati Mohamad Yunus.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan sumbang mahram dengan seorang kanak-kanak yang juga anak tirinya berusia 11 tahun lapan bulan di sebuah rumah di Bandar Perai Jaya di antara bulan Januari 2020 hingga 23 April 2021.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan boleh disebat.

Di kamar berasingan, tertuduh berdepan tiga lagi pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak tirinya di lokasi rumah yang sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan di antara bulan Januari 2020 hingga 23 April 2021.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat.

Tertuduh mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan hakim Noor Aini Yusof

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aisyah Al Humayrah Kamaruzaman dan Muhammad Syeqal Che Murat.

Dalam dua prosiding itu, Aisyah Al Humayrah dan Muhammad Syeqal tidak mencadangkan sebarang jaminan diberikan terhadap tertuduh berikutan dia mempunyai hubungan kekeluargaan selain berisiko tinggi untuk mengganggu mangsa.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan kepada tertuduh dan menetapkan 30 Mei depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan perubatan, laporan kimia dan laporan psikiatri mangsa.

Sementara itu, seorang wanita yang juga ibu kepada mangsa juga dihadapkan ke mahkamah sama atas pertuduhan mengabaikan anak kandungnya hingga menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan emosi.

Tertuduh berusia 40 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Bandar Perai Jaya di antara Januari 2020 hingga 23 April 2022.

Bagi pertuduhan itu, wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai tekstil didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan diberikan terhadap tertuduh dan menetapkan 31 Mei depan untuk sebutan semula kes berkenaan bagi mendapatkan laporan psikiatri mangsa.