Kediaman berkonsep TOD untuk golongan muda

Ismail Sabri (tiga dari kiri) bersama Reezal Merican (empat dari kiri) melihat replika reka bentuk pelan struktur binaan selepas merasmikan Majlis Perasmian Pecah Tanah Residensi PR1MA Astrum Ampang pada Jumaat. - Foto Bernama
Ismail Sabri (tiga dari kiri) bersama Reezal Merican (empat dari kiri) melihat replika reka bentuk pelan struktur binaan selepas merasmikan Majlis Perasmian Pecah Tanah Residensi PR1MA Astrum Ampang pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan terus memperkasakan pembinaan kediaman baharu berkonsepkan transit atau ‘Transit Oriented Development’ (TOD) dengan menyasarkan kepada golongan muda.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kediaman TOD akan memudahkan pergerakan golongan muda ke tempat kerja selain mencapai sasaran mengurangkan jejak karbon menjelang tahun 2030.

Menurutnya, projek Residensi Perbadanan PR1MA Malaysia Antrum Ampang yang dilancarkan pada Jumaat juga akan memastikan lebih ramai golongan muda dapat memiliki rumah mampu milik.

"Kita tahu bahawa anak muda yang memulakan kerjaya di ibu kota sentiasa berdepan dengan isu perumahan, terutamanya untuk memiliki kediaman selesa dan mempunyai akses pengangkutan serta kemudahan awam dalam lingkungan yang berdekatan.

"Kebanyakan kediaman yang dibangunkan ketika ini di luar kemampuan mereka yang baru sahaja memulakan pekerjaan.

"Antrum Ampang ini juga dijangka mampu membantu mengurangkan masalah perumahan di kawasan ibu kota, selari dengan aspirasi Keluarga Malaysia," katanya dalam ucapan pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Residensi PR1MA Astrum Ampang pada Jumaat.

Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya dan Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Seri Mohd Nazri Md Sharif.

Beliau berkata, pembinaan kediaman seperti Astrum Ampang memenuhi Aspirasi kerajaan untuk membina 500,000 rumah mampu milik untuk Keluarga Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

"Saya difahamkan Astrum Ampang, sebuah projek pembangunan bercampur, akan dibangunkan oleh Astrum Ampang Sdn Bhd manakala PR1MA bertindak sebagai pelabur dan rakan usaha sama.

"Daripada keseluruhan projek, satu daripada empat fasa pembangunannya dikhususkan bagi kediaman PR1MA dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM180.80 juta," katanya.

Astrum Ampang mempunyai akses kepada rel Laluan Kelana Jaya dan LRT Laluan Ampang-Sri Petaling, MRT Sungai Buluh Kajang selain akan disambung dengan MRT Sungai Buloh-Putrajaya dan LRT 3.

Sebanyak 712 kediaman mampu milik berkonsepkan Small Office Home Office (SOHO) dan apartmen khidmat (atau service apartment) di bawah PR1MA dengan harga jualan RM250,000 dan RM270,000.

Kediaman yang memiliki keluasan 450 kaki persegi dan 550 kaki persegi itu turut dilengkapi kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, surau, gelanggang badminton dan taman permainan.