Masjid sedia servis motosikal percuma balik raya

Mekanik membuat perkhidmatan servis motosikal percuma . (Gambar kecil : Amalina, Muhammad Hafidzul)
Mekanik membuat perkhidmatan servis motosikal percuma . (Gambar kecil : Amalina, Muhammad Hafidzul)
A
A
A

SEREMBAN - Masjid Arraudah Taman Rasa Sayang di sini mengambil inisiatif menyediakan servis motosikal percuma sebagai salah satu usaha dalam menyebarkan mesej pentingnya keselamatan kenderaan ketika pulang beraya di kampung,

Seramai 100 individu mengambil peluang mendapatkan khidmat enam mekanik yang disediakan dalam program yang diadakan.

Penyelaras program, Zulkifli Muhamed berkata, program itu bukan kali pertama dianjurkan namun sedikit berbeza kali ini kerana diadakan sempena Aidilfitri.

"Kita tahu ramai yang teruja untuk pulang beraya di kampung memandangkan sudah dua tahun tidak dapat menikmati suasana itu disebabkan pandemik Covid-19.

"Justeru, dengan usaha kecil ini diharap dapat memberi keceriaan kepada mereka yang memilih untuk pulang beraya ke kampung dengan menunggang motosikal," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Selain itu katanya, menjadi misi masjid untuk memasyarakatkan institusi itu dan bukan sekadar berperanan sebagai rumah ibadah semata-mata.

Tambah beliau, dengan adanya program sebegitu yang melibatkan ramai anak muda, ia secara tidak langsung dapat mendekatkan mereka dengan masjid.

Mekanik menguji motosikal yang diperiksa terlebih dahulu ketika menyediakan perkhidmatan servis motosikal percuma di Masjid Arraudah Taman Rasa Sayang pada Khamis.
Mekanik menguji motosikal yang diperiksa terlebih dahulu ketika menyediakan perkhidmatan servis motosikal percuma di Masjid Arraudah Taman Rasa Sayang pada Khamis.

"Ini juga cara masjid berdakwah sambil beramal. Lagi pun kita nak sebar mesej pentingnya memastikan kenderaan selamat sebelum memulakan perjalanan.

"Lagipun indeks kemalangan banyak melibatkan penunggang motosikal,"katanya.

Sementara itu mekanik, Muhammad Hafidzul Rizal, 20, berkata, dia secara sukarela menawarkan diri untuk membuat pemeriksaan motosikal secara percuma dalam program berkenaan.

"Saya ada bengkel yang diusahakan dengan rakan di Taman Jasmin, Senawang dan bila diberitahu ada program amal begini, saya sukarela tawarkan diri.

"Bagi saya program yang dianjurkan oleh pihak masjid ini sangat bagus kerana pada masa sama dapat mendekatkan anak muda dengan masjid.

Salah seorang peserta, Amalina Ansyari, 28, memuji usaha dilakukan oleh pihak masjid yang disifatkan dapat membantu meringankan beban penunggang motosikal.

Katanya, biasanya dia akan menghantar servis motosikalnya di kedai tetapi kurang yakin.

"Lagipun saya pula perempuan dan bukan tahu sangat pasal motosikal ini.

"Bila masjid adakan program macam ini, saya tak mahu lepaskan peluang," katanya.