BNM giat urus risiko ringgit daripada perkembangan luaran

Nor Shamsiah
Nor Shamsiah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus dalam temu bual eksklusif dengan Bernama berkongsi perkara dan penjelasan mengenai ringgit dengan perkembangan terkini.

Soalan 1: Ringgit merosot berbanding dolar AS dan dolar Singapura dalam beberapa minggu ini. Kenapa ini terjadi?

Saya mulakan dengan menyatakan bahawa ringgit Malaysia adalah fleksibel dan ditentukan oleh pasaran. Fleksibiliti ini merupakan mekanisme utama untuk membantu kami menyesuaikan dengan perubahan perkembangan ekonomi dan kewangan global, dengan mengubah harga relatif barangan dan perkhidmatan kita.Oleh itu, ringgit yang rendah berbanding dolar AS sebanyak 4.4 peratus dan dolar Singapura sebanyak 2.4 peratus pada tahun ini sebahagian besarnya didorong oleh faktor luaran.

Pertama, dolar AS meningkat berbanding kebanyakan mata wang utama dan serantau berikutan Rizab Persekutuan AS dijangka menaikkan kadar faedah dengan lebih agresif untuk menguruskan inflasi yang tinggi di Amerika Syarikat (AS) sebanyak 8.5 peratus pada Mac, didorong oleh pertumbuhan yang kukuh dan keadaan pasaran buruh.Ini juga telah menyebabkan pengurus portfolio global memperuntukkan semula pelaburan mereka dalam aset yang menjana hasil lebih tinggi di AS.

Kami melihat ini di seluruh dunia.Menamakan beberapa mata wang, yen Jepun merosot sebanyak 10.4 peratus berbanding dolar AS, pound UK sebanyak 7.3 peratus, won Korea Selatan sebanyak 6.0 peratus dan baht Thailand sebanyak 2.7 peratus.

Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) turut mengetatkan dasar monetarinya berikutan kadar inflasi mencapai paras tertinggi sebanyak 5.4 peratus pada Mac.

Kedua, kebimbangan pelabur mengenai konflik di Ukraine dan tanda-tanda momentum pertumbuhan global lembap turut menyumbang kepada permintaan yang lebih tinggi terhadap aset dalam denominasi dolar AS berikutan ia dianggap sebagai mata wang yang lebih selamat. Ini juga dikenali sebagai ‘flight to safety’. VIX atau ‘indeks kebimbangan’ pelabur meningkat kepada 31 mata (27 April) berbanding pada purata 18 mata.

IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) telah menyemak semula unjuran pertumbuhan globalnya sebanyak dua kali pada tahun ini (dan ia hanya April), dengan pertumbuhan pada 2022 telah disemak kepada 3.6 peratus (sebelum ini: 4.4 peratus).

Ketiga, terdapat kebimbangan ketara mengenai kelembapan (ekonomi) di China - terutamanya susulan pelaksanaan sekatan Covid-19 di bandar-bandar utama negara itu baru-baru ini. Perkembangan ini ada impaknya ke atas Malaysia berikutan kedudukan China sebagai rakan dagang terbesar dan menyumbang hampir 16 peratus kepada eksport kita. Malah, secara lebih luas, ini turut menjelaskan pergerakan relatif ringgit terhadap mata wang serantau baru-baru ini kerana Malaysia mempunyai kaitan dagangan kukuh dengan China berbanding negara-negara serantau lain.

(Eksport ke China dengan peratusan daripada KDNK bagi Indonesia: 3.8 peratus, Thailand 0.7 peratus, Malaysia:12.4 peratus).Bagaimanapun, kita percaya ini masih boleh diuruskan berikutan eksport kita yang pelbagai seperti ditunjukkan dalam prestasi eksport yang kukuh (Mac 2022: 25.4 peratus tahun ke tahun). Peningkatan ketara harga komoditi pada masa ini serta impak positif ke atas pendapatan pertukaran asing kita akan turut membantu menampung tekanan aliran penurunan daripada faktor luaran lain.

Soalan 2: Apakah impaknya terhadap ekonomi kita serta kos sara hidup? Tidakkah ini membimbangkan BNM?

Penyusutan ringgit sering berlaku apabila wujudnya perkembangan global yang tidak menggalakkan. Ini disebabkan Malaysia adalah ekonomi yang amat terbuka. Apa juga yang dialami oleh rakan dagang utama kita akan turut memberi kesan kepada kita.

Bagaimanapun, kita perlu melihatnya dari perspektif secara menyeluruh. Impak kelemahan ringgit itu boleh menjadi negatif dan positif, bergantung di mana kedudukan anda dalam ekonomi tersebut.Biar kita tangani dulu penyusutan ringgit ke atas inflasi.

Sudah pasti, elemen seperti itu sememangnya wujud. Secara amnya, kita dijangka menyaksikan beberapa kenaikan harga berikutan penyusutan ringgit kerana import menjadi lebih mahal. Bagaimanapun, kita tidak akan menyaksikan berlakunya hiperinflasi di Malaysia.

Terdapat beberapa dasar dilaksanakan yang membantu mengurangkan tekanan inflasi yang kita lihat. Satu daripadanya adalah siling harga bahan api semasa, yang dilaksanakan sejak 2021, telah memastikan harga stabil di tengah-tengah kadar pertukaran dan turun naik harga minyak mentah.

Langkah jangka pendek yang dilaksanakan kerajaan termasuk kawalan harga ke atas barang keperluan utama seperti ayam segar dan minyak masak juga mengurangkan tekanan kos. Pemindahan pendapatan kepada isi rumah rentan juga membantu mengurangkan kesannya.

Bagaimanapun, pada masa sama, penting untuk melihat dari perspektif lebih luas apabila berkaitan penyusutan ringgit. Di sini, saya ingin menjelaskan dua perkara.

Pertama, kira-kira 36 peratus daripada pekerja Malaysia dan lebih kurang 42 peratus daripada pendapatan buruh di Malaysia adalah daripada sektor berorientasikan eksport.Secara amnya, ringgit yang lebih lemah menjadikan eksport kita lebih berdaya saing kerana keadaan itu menjadikannya lebih murah.

Syarikat dalam sektor ini juga mendapati perolehan bersih mereka meningkat dari segi ringgit, terutama apabila mereka mempunyai sedikit import atau jika import itu berharga dalam mata wang yang sama dengan eksport mereka.

Ini akan membantu memberi manfaat kepada pekerjaan dan pendapatan dalam sektor ini.

Kedua, ringgit yang lebih rendah mendorong pengguna untuk beralih kepada lebih banyak barang dan perkhidmatan yang dikeluarkan dalam negara. Ini membantu memacu ekonomi tempatan.Di sebaliknya juga adalah benar.

Ringgit yang lebih kukuh akan menjejaskan sektor berorientasikan eksport namun memberi manfaat kepada penggunaan barangan import. Maksudnya ialah, pergerakan ringgit pada mana-mana arah pun akan memberi manfaat kepada sesetengah pihak dan menjejaskan yang lain.

Oleh itu, apa yang paling penting adalah mengelakkan pertukaran besar mata wang supaya tidak mengganggu aktiviti ekonomi.Saya juga mahu memberi penjelasan terhadap kebimbangan yang saya dengar bahawa susut nilai ini adalah petanda bahawa Malaysia berisiko menjadi seperti beberapa negara yang kini menghadapi masalah membayar hutang luar negara mereka.

Biar saya tegaskan bahawa Malaysia tidak berada pada kedudukan itu. Kami dijangka mencatat lebihan akaun semasa melebihi RM75 bilion pada tahun 2022.

Kita mengeksport lebih banyak daripada yang kita import. Ini juga bermakna bahawa kita mendapat lebih banyak mata wang asing daripada yang kita bayar.Selain itu, Malaysia adalah pemiutang bersih kepada dunia. Hari ini, kita mempunyai lebih banyak aset asing daripada liabiliti asing tidak seperti semasa Krisis Kewangan Asia.

Oleh kerana itu, tidak perlu merasa bimbang bahawa Malaysia mungkin tidak dapat memenuhi obligasi mata wang asing kita memandangkan turun naik ringgit baru-baru ini.

Soalan 3: Bagaimanakah ringgit yang fleksibel membantu ekonomi Malaysia?

Nilai ringgit ditentukan oleh pasaran. Ini bermakna sama seperti kebanyakan barangan dan perkhidmatan yang kita beli, kadar pertukaran mata wang adalah berdasarkan permintaan dan penawaran dalam pasaran pertukaran asing.

Oleh itu, kadar pertukaran kita adalah fleksibel dan boleh diselaraskan bergantung kepada perkembangan ekonomi dan kewangan, sama ada di Malaysia mahupun di luar negara.Fleksibiliti ini penting kerana ia membolehkan ekonomi kita menyesuaikan dengan keadaan yang berubah-ubah.

Ia menampan ekonomi daripada kesan buruk yang timbul akibat kejutan ekonomi. Anda mungkin masih ingat pada 2015, harga minyak global jatuh sekitar 50 peratus.

Ketika itu, ringgit kita juga menyusut sekitar 19 peratus. Ini membantu mengurangkan beberapa kesan harga minyak yang rendah terhadap ekonomi kita apabila pendapatan kita sebagai pengeksport dalam ringgit meningkat.

Eksport kita juga meningkat sebanyak 1.6 peratus dari segi ringgit. Barangan dan perkhidmatan kita juga lebih murah, sekali gus menjadikannya lebih menarik kepada pembeli.

Pada masa permintaan global rendah, ini membantu perniagaan kita melindungi sebahagian daripada hasil mereka dan membantu mengehadkan kehilangan pekerjaan rakyat Malaysia.Kita pertimbangkan senario alternatif.

Jika ringgit kita ditambat, eksport kita akan merosot dengan ketara sebanyak 15 peratus dari segi ringgit. Kejatuhan harga minyak juga akan mengakibatkan penurunan ketara dalam hasil kerajaan.

Tanpa keuntungan tukaran mata wang, pengurangan dalam perbelanjaan awam akan menjadi lebih ketara, ia membawa kepada penurunan pelaburan dan kehilangan pekerjaan bagi kebanyakan rakyat Malaysia.Syukurlah, kita tidak menghadapi keadaan itu.

Disebabkan ringgit adalah fleksibel, ia membantu menyokong ekonomi kita berkembang sebanyak 5.1 peratus pada masa itu dan terus menstabilkan kadar pengangguran kita pada 3.1 peratus.

Kadar pertukaran yang fleksibel boleh menjadi serampang dua mata. Apabila ringgit meningkat sebanyak 12.5 peratus berikutan Krisis Kewangan Global disebabkan peningkatan besar dalam mudah tunai global, eksport bukan komoditi kita menyederhana kepada sekitar 3.8 peratus tetapi pertumbuhan kekal stabil secara purata pada sekitar 5.7 peratus pada 2010 hingga 2013.

Pemulihan ekonomi yang cepat terutamanya ekonomi pasaran sedang pesat membangun, mengakibatkan peningkatan terhadap tekanan inflasi dan permintaan dalam negeri.Menjelang akhir 2013, paras harga domestik meningkat melebihi 2 peratus.

Memandangkan risiko inflasi yang meningkat dalam tempoh tersebut, peningkatan ringgit memainkan peranannya dengan menyederhanakan permintaan dan kos input yang diimport dan seterusnya, kepada harga pengguna.

Sejak Krisis Kewangan Global 2007/2008, ringgit telah mengalami pergerakan dua hala, dengan episod kenaikan dan penyusutan. Tidak termasuk tempoh krisis yang besar, ekonomi Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan stabil sekitar 5.4 peratus, inflasi antara 1.5 peratus dan 2.5 peratus dan kadar pengangguran pada purata 3.2 peratus.

Inilah yang kami maksudkan dengan ringgit memainkan peranan penstabilan yang penting dalam ekonomi. Ringgit boleh menyusut dan meningkat, tetapi apa yang penting ialah pendapatan dan pekerjaan terus berkembang dan tekanan inflasi dapat dikawal.

Soalan 4: Bolehkah kejatuhan nilai ringgit dikaitkan dengan keputusan negara untuk mengekalkan terlalu lama Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras terendah 1.75 peratus?

Terdapat banyak faktor yang boleh mempengaruhi kadar pertukaran mata wang.Perbezaan kadar faedah hanyalah salah satu daripadanya. Seperti yang dijelaskan sebelum ini, kami melihat peningkatan dolar AS apabila pelabur mengimbangi semula aset dolar AS dengan menjangkakan Rizab Persekutuan meningkatkan kadar faedahnya.

Jangkaan kenaikan kadar faedah ini adalah sebagai tindak balas kepada pertumbuhan kukuh dan tekanan inflasi di AS yang telah mencapai paras tertinggi dalam tempoh 40 tahun pada 8.5 peratus pada Mac 2022.

Keadaan di Malaysia berbeza. Kita baru mula keluar daripada krisis, dengan pertumbuhan yang menggalakkan dan prospek pekerjaan. Walaupun inflasi semakin meningkat, pada masa ini kebanyakannya didorong oleh penawaran. Bagaimanapun, kami memantau dengan teliti jika kos input yang lebih tinggi ini kemudiannya akan menjejaskan lagi rangkaian luas barangan dan perkhidmatan, terutamanya jika tekanan harga ini berterusan apabila orang ramai mula berbelanja semula.

Akhirnya, sebarang perubahan kepada dasar monetari BNM akan berdasarkan kepada penilaian kami tentang bagaimana perkembangan terbaharu mampu mempengaruhi inflasi domestik serta prospek pertumbuhan, dan ini akan dibincangkan pada MPC seterusnya menjelang 10 dan 11 Mei depan.

Soalan 5: Apakah pelan kerajaan/BNM untuk menangani ringgit yang rendah?

BNM akan terus menguruskan risiko yang wujud daripada perkembangan domestik dan luaran.

Walaupun kami tidak menyasarkan sebarang paras kadar pertukaran, peranan kami ialah untuk memastikan pergerakan dalam kadar pertukaran teratur.

Maksudnya, tiada perubahan secara drastik atau melampau dalam nilai ringgit.Kami bersedia untuk menggunakan instrumen yang ada bagi memastikan hasil ini.

Ini akan membantu perniagaan merancang dan melaksanakan keputusan perniagaan dan pelaburan dengan lebih baik, yang akan membantu menyokong pemulihan yang lebih mampan.

Di sebalik cabaran ini, Malaysia masih dijangka untuk mencatatkan pemulihan yang kukuh pada tahun ini. Sempadan dibuka, perniagaan menyambung semula aktiviti dan pasaran pekerjaan negara bertambah baik. Kadar pertukaran kita yang fleksibel dan ditentukan oleh pasaran turut menyokong kami dalam laluan pemulihan ini.

Selain itu, Malaysia mempunyai lebihan akaun semasa yang baik, kedudukan pemiutang luaran bersih dan mempunyai paras rizab antarabangsa yang mencukupi. Struktur ekonomi dan perdagangan kita juga amat pelbagai, membolehkan kita bergantung kepada banyak sumber pertumbuhan.

Ini antara kekuatan kita yang akan membantu Malaysia melalui tempoh amat tidak menentu ini.Oleh itu, saya ingin menegaskan bahawa kita perlu terus melaksanakan pembaharuan struktur untuk mengukuhkan potensi pertumbuhan dan prospek ekonomi negara. Ini akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang lebih menarik.

Hasilnya, aliran masuk pelaburan langsung asing dan portfolio yang lebih besar serta output yang lebih tinggi yang dijana akan menyokong ringgit. Justeru, kita perlu memberi tumpuan kepada membina ekonomi yang lebih kukuh dan mampan dengan taraf hidup yang ditambah baik. - Bernama