Tiada konflik kepentingan YWP, DBKL dalam projek Taman Rimba Kiara

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Tiada konflik kepentingan yang membabitkan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) apabila perintah pembangunan bagi cadangan projek Taman Rimba Kiara dikeluarkan.

Peguam Tan Sri Cecil Abraham, yang mewakili YWP, berhujah bahawa Datuk Bandar DBKL tidak duduk dalam mana-mana mesyuarat bagi meluluskan atau mengeluarkan arahan bagi perintah pembangunan projek itu.

Beliau berkata, Datuk Bandar DBKL juga tidak menandatangani perintah pembangunan itu sebaliknya ia ditandatangani oleh seorang pengarah dalam unit perancangan DBKL dan menambah bahawa perintah itu dikeluarkan selepas melalui proses yang teliti serta telus.

Katanya, Mahkamah Rayuan telah terkhilaf dalam penemuannya apabila memutuskan bahawa terdapat konflik kepentingan kerana Datuk Bandar Kuala Lumpur adalah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP ketika perintah pembangunan itu dikeluarkan oleh DBKL kepada YWP dan syarikat pemaju Memang Perkasa Sdn Bhd untuk membangunkan kawasan itu.

Abraham berkata, Perjanjian Usahasama (JVA) adalah kontrak bersyarat antara YWP, sebuah yayasan di bawah Kementerian Wilayah persekutuan dan Memang Perkasa untuk membangunkan kawasan terbabit serta JVA terbabit tidak ada kena-mengena dengan DBKL, yang bukan pihak dalam JVA itu.

Beliau berkata, YWP dan Memang Perkasa adalah pemilik sah dan benefisial tanah terbabit di mana pembangunan yang dicadangkan akan dilaksana dan mereka berhak melupuskan tanah itu dalam apa jua cara termasuk bagi pembangunan selagi ia tidak melanggar undang-undang.

Abraham berkata demikian ketika berhujah di hadapan panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan Datuk Bandar DBKL, Memang Perkasa, YWP dan Persatuan Penduduk Perumahan Awam Bukit Kiara.

Mereka ingin menghidupkan semula perintah pembangunan bertarikh 13 Julai 2017 yang dikeluarkan oleh DBKL bagi pembangunan lapan blok pangsapuri servis mewah 29 tingkat merangkumi 350 unit perumahan mampu milik untuk dibina di kawasan itu.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah Rayuan membuat keputusan memihak kepada penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI), yang menerusi badan pengurusan Trellises Apartment, Kiara Green Townhouses, Residence Condominium, TTDI Plaza Condominium, The Greens Condominium dan empat penduduk serta pemilik rumah TTDI, memfailkan semakan kehakiman pada 2017 bagi membatalkan kebenaran perancangan bersyarat dan perintah pembangunan dikeluarkan DBKL.

Mereka kalah di peringkat Mahkamah Tinggi pada 28 November 2018.

Dalam semakan kehakiman itu, penduduk memohon perintah pembangunan dibatalkan atas alasan Taman Rimba Kiara yang berkeluasan 10.08 hektar dalam taman awam yang terletak di TTDI dan Bukit Kiara serta adalah kawasan hijau Kuala Lumpur.

Mahkamah penyambung pendengaran rayuan itu hari ini yang berlangsung secara maya dengan Abraham dan peguam B.Jayanthi mewakili Persatuan Penduduk Perumahan Awam Bukit Kiara mengemukakan hujah masing-masing.

Pada Jumaat lepas (22 April), panel itu mendengar hujah B.Thangaraj yang mewakili Datuk Bandar DBKL serta Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Khoo Guan Huat yang mewakili Memang Perkasa.

Pada prosiding hari ini (Khamis), Abraham turut berhujah bahawa Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam penemuannya bahawa permohonan untuk kebenaran merancang bagi projek itu telah dibuat bersama-sama oleh Memang Perkasa dan YWP.

"Keterangan berdokumen di hadapan Mahkamah Tinggi dengan jelas membuktikan bahawa permohonan bagi kebenaran merancang itu telah dibuat secara sendirian oleh Memang Perkasa," katanya.

Pendengaran kes di hadapan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah bersambung pada 25 Julai ini.

Penduduk TTDI diwakili peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar. - Bernama