FGV: Felcra tarik kerjasama teroka perniagaan tenusu di Perlis

FGV
FGV
A
A
A

KUALA LUMPUR - Felcra Bhd memutuskan untuk menarik balik kerjasama dengan FGV Holdings Bhd dan Baladna Food Industries Co WLL yang berpangkalan di Qatar untuk meneroka perniagaan ladang tenusu di Chuping, Perlis.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Khamis, FGV berkata, FGV dan Baladna Food Industries meneruskan kajian kebolehlaksanaan dan teknikal projek itu secara menyeluruh.

"Syarikat itu akan membuat pengumuman lanjut apabila terdapat perkembangan material selanjutnya berhubung memorandum kerjasama (MOC) itu,” kata kenyataan itu.

Pada Ogos tahun lepas, anak syarikat FGV, FGV Integrated Farming Sdn Bhd (FGVIF), memeterai MOC dengan Felcra dan Baladna Food Industries untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan dan teknikal yang komprehensif tentang peluang berpotensi melabur bersama dalam perniagaan ladang tenusu bersepadu di Chuping.

Pada penutup dagangan pada Khamis saham FGV tidak berubah pada RM2.02 dengan 1.7 juta saham diurus niaga. - Bernama