40,000 ayam mentah, 2,500 baju raya untuk asnaf

Daud (tiga dari kiri) menyampaikan baju Melayu kepada salah seorang penerima pada program Kembara Ramadan Prihatin dan MAIWP bersama asnaf pada Khamis.
Daud (tiga dari kiri) menyampaikan baju Melayu kepada salah seorang penerima pada program Kembara Ramadan Prihatin dan MAIWP bersama asnaf pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyediakan peruntukan hampir RM800, 000 untuk mengagihkan 40,000 ayam mentah kepada 20,000 keluarga asnaf di Kuala Lumpur.

Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Daud Bakar berkata, program Kembara Ramadan Prihatin itu dijalankan sempena persiapan Aidilfitri dengan kerjasama Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin).

Bagaimanapun menurutnya, sumbangan itu tidak dapat diagihkan sepenuhnya pada Ramadan disebabkan kesuntukan masa dan akan disambung selepas Syawal.

"Ayam ini diperoleh dengan harga murah dan pihak Prihatin akan membantu menguruskan pembungkusan dan penghantaran terus kepada pengguna.

"Ini mungkin permulaan yang tidak begitu sempurna namun bermakna buat kami dan rakan strategik. Insha-ALLAH pada tahun hadapan kita akan rancang dengan lebih baik lagi supaya manfaat diperluaskan dengan bajet lebih besar," katanya pada Khamis.

Daud (tiga dari kiri) menyampaikan ayam mentah kepada salah seorang penerima.
Daud (tiga dari kiri) menyampaikan ayam mentah kepada salah seorang penerima.

Beliau ditemui pada program Kembara Ramadan Prihatin dan MAIWP bersama asnaf di Masjid Azzubair Ibnul Awwam, Cheras di sini pada Khamis.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif Prihatin, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali.

Beliau berkata, MAIWP turut memperuntukkan sebanyak RM192, 500 untuk pembelian baju Melayu dan baju kurung kepada 2,500 asnaf sempena sempena program tersebut.

"Selain itu, Prihatin bekerjasama dengan NGO lain telah berjaya mendapatkan sumbangan tambahan lain seperti kain samping, tudung serta songkok membolehkan penerima mendapat set lengkap persalinan baju raya.

"Harapan kami program ini dapat menjadi penanda aras dalam memberikan kegembiraan kepada keluarga asnaf di Kuala Lumpur tanpa ada yang terpinggir," katanya.