UMK sedia juadah percuma untuk pelajar beraya di kampus

Razli (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan bakul hari raya kepada Majidah (dua dari kiri) untuk diagihkan kepada pengamal media yang bernaung di bawah Kemudi di Jabatan Penyiaran Kelantan, Kota Bharu pada Khamis.
Razli (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan bakul hari raya kepada Majidah (dua dari kiri) untuk diagihkan kepada pengamal media yang bernaung di bawah Kemudi di Jabatan Penyiaran Kelantan, Kota Bharu pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyediakan juadah Hari Raya Aidilfitri percuma selama tiga hari kepada 180 pelajar yang tidak pulang beraya ke kampung halaman.

Naib Canselor, Profesor Dr Razli Che Razak berkata, kebanyakan pelajar terlibat dari Sabah dan Sarawak.

"Sebagaimana yang kita sedia maklum, kos penerbangan yang tinggi menyebabkan mereka terpaksa menetap di kampus sepanjang tempoh berkenaan," katanya selepas menyampaikan sumbangan bakul raya kepada Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) di Jabatan Penyiaran Kelantan pada Khamis.

Pada majlis tersebut, Kemudi diwakili Presidennya, Majidah Ismail dan turut dihadiri Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMK, Mohd Adzwan Kamaruzaman.

Menurutnya, juadah percuma itu akan diagihkan kepada pelajar UMK yang berada di Kampus Kota, Pengkalan Chepa dan Jeli.

Beliau berkata, agihan makanan percuma dilakukan memandangkan premis perniagaan makanan ditutup pada hari raya.

Razli berkata, sehingga kini 5,700 pelajar UMK sudah mengikuti pengajian di ketiga-tiga kampus berkenaan.

"Insya-ALLAH pada September ini keseluruhan pelajar 11,416 pelajar UMK akan kembali mengikuti pengajian bersemuka di kampus," katanya.