Penduduk tidak pulang ke kampung diminta jadi mata, telinga polis

Arjunaidi ketika melancarkan Ops Selamat ke-18 peringkat IPK Selangor di RnR Dengkil arah selatan.
Arjunaidi ketika melancarkan Ops Selamat ke-18 peringkat IPK Selangor di RnR Dengkil arah selatan.
A
A
A

SEPANG - Penduduk di Selangor yang tidak pulang ke kampung sempena cuti Hari Raya Aidilfitri digalakkan untuk menjadi mata dan telinga pihak polis dalam usaha membanteras jenayah pecah rumah di negeri ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pendekatan berkonsepkan 'kepolisan komuniti tersebut diambil selaras dengan tema Ops Selamat ke-18 iaitu 'Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi'.

Menurutnya, orang ramai yang pulang bercuti digalakkan supaya membuat pemakluman kepada pihak polis sebelum pulang ke kampung menerusi aplikasi telefon pintar Volunteer Smartphone Patrol (VSP) atau mana-mana balai polis berhampiran.

"Saya menyeru orang ramai supaya mengisi maklumat balik kampung. Tindakan ini akan dapat mengurangkan risiko rumah yang ditinggalkan daripada dipecah masuk

"Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Selangor akan mengkoordinasikan penugasan sempena musim perayaan ini agar anggota pasukan dapat membuat rondaan dan mengambil tindakan sewajarnya untuk menentukan keselamatan rumah sepanjang musim perayaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya selepas menyempurnakan majlis pelancaran Ops Selamat ke-18 peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil arah Selatan di Lebuh Raya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (Elite) di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Arjunaidi berkata, objektif utama Polis Selangor adalah untuk mengurangkan kadar kemalangan dan mencegah jenayah pecah rumah sepanjang tempoh pelaksanaan Op Selamat ke-18 bermula 29 April hingga 8 Mei.

Katanya, dalam Ops Selamat Hari Raya Aidilfitri yang lalu pada tahun 2019, seramai 20,670 individu telah mengisi borang maklumat balik kampung dan daripada jumlah itu hanya satu kes pecah rumah dicatatkan.

Sementara itu, polis turut berkolaborasi bersama 551 buah stesen minyak pelbagai jenama di seluruh Selangor untuk menubuhkan titik selamat menerusi inisiatif 'Go To Safety Point' (GTSP) sebagai tempat untuk meminta bantuan awal andainya berlaku sebarang kecemasan.

"Antara yang terlibat adalah sebanyak 228 buah stesen minyak Petronas, Shell (185),Petron (125), Caltex (7), BHP (6).

"Polis turut menggembleng usaha bersepadu melalui 'Emergency Response Team' (ERT) yang terdiri daripada pelbagai agensi seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM),"katanya.