Rakaman suara tular kepada 'Datin' tiada kesalahan jenayah: PDRM

Laporan Sinar Harian pada 12 April lalu.
Laporan Sinar Harian pada 12 April lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis tidak menemui sebarang kesalahan jenayah berhubung kes seorang individu yang didakwa menyampaikan rakaman suaranya kepada seorang individu bergelar 'Datin' berkaitan Kementerian Luar Negeri.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, polis telah merujuk kes itu kepada kementerian berkenaan untuk siasatan dalaman.

"Tiada kesalahan jenayah untuk disiasat berkaitan kes itu, kita telah merujuk kes itu kepada Wisma Putra untuk siasatan dalaman,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

Pada 12 April lalu, Kementerian Luar Negeri menjalankan satu siasatan dalaman dan laporan polis berhubung seorang individu lelaki yang didakwa menyampaikan rakaman suaranya kepada seorang individu bergelar 'Datin' berkaitan kementerian itu.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius terhadap tuduhan tidak berasas melalui rakaman suara tular tersebut yang dilihat bertujuan menimbulkan kekeliruan bagi kepentingan pihak tertentu.

Kementerian ingin merujuk kepada isu yang tular di media sosial baru-baru ini berkenaan seorang individu lelaki yang menyampaikan rakaman suaranya kepada seorang individu bergelar ‘Datin’ berkaitan Kementerian Luar Negeri.

Sebelum ini, tular audio durasi 135 saat di media sosial berkenaan mesej seorang lelaki kepada 'Datin' yang dipercayai menyatakan permasalahan dalaman kementerian itu.

Isu melibatkan Kementerian Luar memuncak selepas dua diplomatnya di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dipanggil balik.