Kaji semula kaedah lupus rampasan mercun

Polis akan mencadangkan kepada Majistret untuk mengkaji semula kaedah pelupusan barang rampasan bukti khususnya mercun dengan cara yang lebih sesuai. - Gambar hiasan
Polis akan mencadangkan kepada Majistret untuk mengkaji semula kaedah pelupusan barang rampasan bukti khususnya mercun dengan cara yang lebih sesuai. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan mencadangkan kepada Majistret untuk mengkaji semula kaedah pelupusan barang rampasan bukti khususnya mercun dengan cara yang lebih sesuai.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kajian itu perlu dilakukan bagi memastikan kaedah yang lebih sesuai digunakan untuk pelupusan barang rampasan bukti.

“Berdasarkan laporan dari Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Kimia, kita akan melihat kaedah yang lebih baik untuk melupuskan barangan kes seperti mercun.

“Ia kerana ada sesetengah barang kes tidak sesuai dilupuskan cara terbabit, kita akan lihat semula keperluan membuat pelupusan barang kes dengan cara tertentu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini pada Rabu.

Azmi berkata, kaedah pelupusan mercun yang dijalankan di stor barang kes Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini pada Selasa mengikut arahan yang telah dikeluarkan mahkamah.

Pada Selasa, media melaporkan berlaku letupan di stor berkenaan sehingga mengakibatkan tiga pekerja am mengalami kecederaan ringan.

Dalam perkembangan berasingan, Azmi memaklumkan pihaknya bersedia mengatur semula penugasan anggota bagi memastikan warga Kuala Lumpur serta Putrajaya berada dalam keadaan selamat ketika musim perayaan Aidilfitri.

“Sebanyak 10 peratus sahaja anggota dibenarkan untuk bercuti dari kekuatan sebenar polis sepanjang tempoh cuti perayaan.

“Anggota kereta peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang lain akan giat menjalankan rondaan di sekitar kawasan rumah penduduk,” ujarnya