PasLeak: Polis buka kertas inkuiri

Azmi Abu Kassim
Azmi Abu Kassim
A
A
A
KUALA LUMPUR - Polis membuka kertas inkuiri bagi mengenal pasti laporan yang diterima daripada pengadu berkaitan dokumen 'PasLeak' yang memperincikan dakwaan perancangan politik membabitkan dua pemimpin Pas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, setakat ini, pihaknya belum mendapat sumber kepada aduan oleh pengadu berkenaan.

"Sudah tentu ada individu yang akan dipanggil untuk membantu siasatan antaranya pengadu berkenaan, kemudian terpulang kepada hasil siasatan untuk memanggil individu lain," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

Pada Jumaat lalu, Naib Presiden Pas, Senator Datuk Idris Ahmad menyifatkan penyebaran dokumen yang didakwa sebagai minit mesyuarat Pas adalah cubaan meretakkan hubungan antara parti-parti Melayu.

Sebelum ini, empat keping tangkap layar mengenai percaturan politik Pas antaranya menyentuh mengenai campur tangan dalam urusan mahkamah, menjadi tular di media sosial.

Pada Khamis lalu, Peguam yang mewakili Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat laporan berkenaan dengan laporan risikan pemimpin Pas seperti yang tular di media sosial.