Kes tular raya awal sehari: Polis belum terima laporan setakat ini

Tangkap layar palsu yang tular mengenai satu Syawal disambut lebih awal.
Tangkap layar palsu yang tular mengenai satu Syawal disambut lebih awal.
A
A
A

MELAKA - Polis Melaka belum menerima sebarang laporan polis berhubung tangkap layar palsu yang tular mendakwa Aidilfitri tahun ini akan disambut sehari lebih awal.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, pihaknya akan melihat terlebih dahulu fakta mengenai dakwaan itu dan tidak menolak kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sekiranya menerima laporan bagi mengesan individu yang menyebarkan berita palsu itu.

"Setakat ini kita berpegang kepada mufti dan kita ada undang-undang syariahnya.

"Belum ada laporan polis yang diterima, kita tengok dulu dakwaan macam mana kerana polis tidak boleh bertindak atas andaian," katanya selepas menyempurnakan majlis pelancaran Op Selamat 18 2022 sempena Hari Raya Aidilfitri di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Ayer Keroh, pada Rabu.

Semalam tular kenyataan bahawa pihak Balai Cerap Melaka meminta umat Islam bersedia untuk kemungkinan tarikh Syawal pada tahun ini berubah kepada awal sehari dari kalendar dan raya akan disambut pada 2 Mei dan bukan 3 Mei.

Bagaimanapun Balai Cerap Al-Khawarizmi mengeluarkan kenyataan di laman rasmi Facebook agensi itu dan menafikan dakwaan tersebut.

Menurut kenyataan itu, kaedah penepatan awal bulan Islam di Malaysia adalah secara imkanurukyah (rukyah dan hisab).

Rukyah dilakukan pada petang 29 Ramadan 1443H di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan di seluruh Malaysia.

"Sebarang pemakluman awal adakah tidak benar sehingga hasil keputusan rukyah pada 29 Ramadan 1443H diterima dan selesai dilakukan," katanya.