Tangan putus, tersepit mesin pemecah batu

Anggota bomba sedang melonggarkan belting mesin pemecah batu untuk mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit. - Foto Ihsan Bomba Pahang
Anggota bomba sedang melonggarkan belting mesin pemecah batu untuk mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit. - Foto Ihsan Bomba Pahang
A
A
A

KUANTAN - Seorang lelaki terputus tangan kirinya akibat tersepit pada mesin pemecah batu dalam satu kejadian dipercayai berlaku di tapak Kuari di Keratong Timur, Rompin pada Selasa.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, tangan mangsa, Dil Akbar Kamaruddin, 51, dikatakan melekat pada mesin ketika membersihkan alatan terbabit.

"Mangsa telah dibawa ke hospital oleh majikannya sebelum pasukan bomba tiba. Kita kemudian telah melakukan kerja-kerja mengeluarkan tangan yang terputus dengan melonggarkan belting mesin.

"Selepas itu, tangan mangsa di serahkan kepada majikannya untuk dihantar ke hospital," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Zulfadli berkata tujuh anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 10.20 pagi.