Pulau Batu Puteh: Laporan akhir dibentang waktu terdekat

Wan Junaidi
Wan Junaidi
A
A
A

SHAH ALAM - Laporan akhir semakan undang-undang kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang dibuat Pasukan Petugas Khas (PPK) akan dibentangkan dalam masa terdekat untuk pertimbangan Jemaah Menteri bagi menentukan tindakan selanjutnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, satu laporan interim juga telah disediakan jawatankuasa itu dan dikemukakan kepadanya pada 25 April lalu.

Beliau berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan yang dipengerusikannya juga mengambil maklum mengenai laporan tersebut serta turut memberikan input penambahbaikan untuk perhatian PPK.

"Sehingga kini, PPK ini telah mengadakan 12 mesyuarat yang melibatkan beberapa siri mesyuarat PPK dan Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil yang ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Kecil 'Legal Aspects', Jawatankuasa Kecil 'Tort of Misfeasance' dan Jawatankuasa Kecil Hubungan Malaysia-Singapura.

"PPK ini merupakan sebuah pasukan dengan kepelbagaian pengalaman, kepakaran dan pengetahuan yang menjadi kekuatan untuk menghasilkan dapatan dan opsyen yang terbaik bagi Malaysia.

"Kerajaan amat komited untuk memastikan kedaulatan negara sentiasa terjamin dan menjadi keutamaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Jemaah Menteri pada 29 Oktober lepas telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah pasukan petugas khas bagi menyemak semula tindakan dan isu perundangan berkenaan kes Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Pasukan itu diketuai bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali itu, turut akan mengesyorkan opsyen terbaik mengenai hala tuju kerajaan berhubung kes berkenaan.