Sembilan lagi pemain sertai skuad Maloney

Foto Facebook Football Association of Malaysia
Foto Facebook Football Association of Malaysia
A
A
A

[DIKEMAS KINI] Seramai sembilan lagi pemain melaporkan diri pada kem latihan pusat pasukan bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan, menjelang temasya Sukan SEA Hanoi di Vietnam bulan depan.

Menurut hantaran Facebook rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada malam, Isnin, sesi latihan hari ketujuh di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya malam tadi, menyaksikan seramai 14 pemain menjalani sesi latihan di bawah kendalian Ketua Jurulatih Brad Maloney.

Sembilan pemain itu adalah Firdaus Irman Fadhil, V Ruventhiran, A Shivan Pillay, Aiman Afif Afizul, Ahmad Aysar Hadi Shapri, Daryl Sham, Umar Hakeem Suhar Rezwan, Ubaidullah Shamsul Fazili dan Nik Akif Syahiran Nik Mat.

Mereka menyertai lima pemain lain iaitu Shafi Azswad Sapari, Haqimi Azim Rosli, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Fahmi Daniel Zaaim dan Faiz Amer Runnizar yang telah melapor diri sejak 19 April lepas.

Selain sebagai persiapan menghadapi saingan di Hanoi, kem latihan pusat itu juga medan persediaan sebelum bertanding pada Piala Asia B-23 di Uzbekistan bermula 1 hingga 19 Jun.

Baki pemain lain daripada senarai 31 pemain yang dipanggil Maloney akan melapor diri secara berperingkat, selepas mereka dilepaskan kelab masing-masing.

Diundi dalam Kumpulan B pada temasya sukan dwitahunan itu, Malaysia dijadual berdepan Thailand pada 7 Mei, Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei) di Stadium Thien Truong Stadium, Nam Dinh untuk merebut dua slot ke separuh akhir.

Pada edisi 2019 di Filipina, pasukan negara di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee gagal melepasi peringkat kumpulan, selepas memenangi pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Malaysia kali terakhir memenangi ‘ibu segala emas’ temasya itu pada edisi 2011 di Indonesia di bawah bimbingan Kim Swee. - Bernama