Gelandangan ditemui mati di kedai lama

Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemui di sebuah kedai lama Kampung Tanjung Pisang, Jalan Tampin-Gemas pada petang Isnin.
Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemui di sebuah kedai lama Kampung Tanjung Pisang, Jalan Tampin-Gemas pada petang Isnin.
A
A
A

TAMPIN - Seorang lelaki tanpa identiti ditemui mati di sebuah kedai lama Kampung Tanjung Pisang, Jalan Tampin-Gemas, petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 3.40 petang daripada orang awam yang menjumpai mayat lelaki tidak dikenali di lokasi disyaki berumur lingkungan 50 tahun.

"Mayat tersebut dalam keadaan mencangkung seolah-olah sedang tidur dan terdapat tompokan darah di sekitar mayatnya.

"Berdasarkan makluman awal, lelaki yang disyaki gelandangan dalam keadaan mabuk telah muntah darah beberapa kali di perhentian bas hadapan Hospital Tampin dan kemudian berjalan kaki ke lokasi tempat dia dijumpai mati," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Jelasnya, siasatan awal tempat kejadian telah dijalankan bersama pihak forensik Hospital Tampin dan didapati tiada sebarang unsur jenayah dan tiada sebarang kecederaan di tubuh badan lelaki tersebut.

"Walaupun ada kesan pendarahan tetapi ia dipercayai daripada muntah darah lelaki berkenaan.

"Mayatnya telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.