Posmen maut kereta bertembung pacuan empat roda

Anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan. - Foto Ihsan Bomba Perak
Anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan. - Foto Ihsan Bomba Perak
A
A
A

TAPAH - Seorang posmen maut apabila kereta dipandunya bertembung dengan pacuan empat roda Toyota Hilux di Kilometer 82 Jalan Ipoh - Kuala Lumpur dekat Sungkai di sini pada Isnin.

Dalam kejadian sekitar jam 6.30 petang itu, mangsa, Mohamad Nurazreen Faizal Zul, 30, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Slim River.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, laporan kemalangan diterima membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dipandu mangsa dan pacuan empat roda Toyota Hilux.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja di Pejabat Pos Tanjung Malim memandu dari arah Slim River menuju ke Bidor.

"Apabila sampai di tempat kejadian kereta mangsa dipercayai hilang kawalan dan masuk ke lorong bertentangan.

Kereta yang dipandu mangsa terbalik selepas bertembung dengan Toyota Hilux di Sungkai pada Isnin. - Foto Ihsan PDRM
Kereta yang dipandu mangsa terbalik selepas bertembung dengan Toyota Hilux di Sungkai pada Isnin. - Foto Ihsan PDRM

"Pada masa sama, Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 38 tahun itu tidak sempat mengelak lalu melanggar kenderaan mangsa," katanya.

Wan Azharuddin berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah telah dirujuk ke Hospital Slim River.

"Mangsa bagaimanapun dimaklumkan telah meninggal dunia kira-kira jam 8.30 malam ketika menerima rawatan.

"Dalam kejadian itu, pemandu Toyota Hilux tidak mengalami kecederaan. Kenderaan terlibat telah ditahan untuk pemeriksaan pihak Puspakom dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.