Penyertaan bumiputera dalam sektor ekonomi antara fokus PPN 2.0

Muhyiddin - Foto Bernama
Muhyiddin - Foto Bernama
A
A
A

ALOR GAJAH - Penyertaan semula golongan bumiputera di sektor perusahaan sederhana, kecil dan mikro (SME) untuk kembali ke dalam sektor ekonomi antara fokus Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2.0.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mesyuarat majlis berkenaan berikutnya, akan melihat kesan pandemik Covid-19 terhadap golongan berkenaan.

"Yang banyak terkesan (dengan pandemik Covid-19) adalah sektor bumiputera. Yang meniaga kecil pun dah tak meniaga lagi, yang buat kilang pun sebahagian besar tak beroperasi sepenuhnya.

"(Mereka) ada masalah kewangan, masalah pekerja. Jadi mesyuarat MPN akan datang akan melihat apa kesan pandemik Covid-19 terhadap sektor bumiputera," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar Bersatu Alor Gajah di sini pada Isnin.

Muhyiddin berkata, antara masalah yang dihadapi golongan bumiputera untuk kembali ke sektor ekonomi adalah berkaitan kewangan, modal, aliran wang tunai, perbankan, penambahan tenaga kerja, latihan dan sebagainya.

"Jadi saya cuba nak gambarkan, pemulihan walaupun baharu bermula, tapi ada banyak usaha yang perlu diambil oleh kerajaan (untuk mengatasinya).

"Tapi yang penting sekali kerajaan mesti bertindak proaktif untuk mencari jalan supaya proses itu dapat dilaksanakan dalam satu tempoh yang tidak terlalu lama," katanya.

Mac lepas Muhyiddin dilaporkan berkata, PPN 2.0 perlu bersifat luar biasa bagi mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang mantap di samping meletakkan kembali Malaysia di landasan untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.

Beliau mengesyorkan kerajaan supaya memulakan segera agenda PPN 2.0 yang mempunyai dasar dan strategi yang sesuai, berpaksikan pelaburan berkualiti, produktiviti tinggi serta penciptaan dan peluasan perdagangan. - Bernama