Lampard kecewa Everton tak dapat penalti

Frank Lampard - Foto AFP
Frank Lampard - Foto AFP
A
A
A

PENGENDALI Everton Frank Lampard kecewa apabila skuad kendaliannya itu tidak diberikan sepakan penalti ketika berdepan Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), di Anfield pada Isnin.

Menurut Lampard, insiden pada minit ke-53 itu seharusnya menyaksikan The Toffees diberikan sepakan penalti.

“Bagi saya, skuad kendalian saya sememangnya wajar diberikan sepakan penalti apabila Anthony (Gordon) ditolak oleh dalam kawasan penalti.

“Jika itu (penalti) berlaku, keputusan perlawanan mungkin akan berubah dengan menyaksikan The Reds ‘tumbang’ di hadapan penyokong sendiri.

“Namun, pengadil hanya memberikan isyarat supaya perlawanan diteruskan dan ini sangat mengecewakan!” katanya.

Insiden minit ke-53 itu menyaksikan Gordon yang sedang mengawal bola ditolak pertahanan Liverpool, Joel Matip bagi menafikan sebarang percubaan ke pintu gol dibuat.

Pada perlawanan berkenaan Everton tewas 0-2 hasil jaringan Andrew Robertson pada minit ke-62 dan sebelum pemain gantian The Reds, Divock Origi menjaringkan gol kedua pada minit ke-85.

Mengulas mengenai kekalahan berkenaan Lampard berkata, skuad kendaliannya itu masih berpeluang untuk keluar dari zon penyingkiran ketika ini.

Justeru katanya, kesemua pemain perlu memanfaatkan baki enam perlawanan selepas ini dengan menghasilkan keputusan yang positif buat pasukan.

“Masih ada enam perlawanan lagi dan kita masih ada peluang; cuma perlu dipastikan kesemua baki perlawanan itu dapat menghasilkan keputusan yang positif,” katanya.