Identiti lelaki ditemukan rentung dalam kereta belum dikenal pasti

Keadaan sebuah kereta Proton Persona yang terbakar di Lebuhraya Pantai Baru pada Ahad.
Keadaan sebuah kereta Proton Persona yang terbakar di Lebuhraya Pantai Baru pada Ahad.
A
A
A

SUBANG JAYA - Polis masih belum mengenal pasti identiti seorang lelaki yang ditemukan rentung dalam sebuah kereta Proton Persona terbakar di Lebuhraya Pantai Baru di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada jam 7.57 malam.

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta itu dari arah Sunway ke Subang Jaya, sebelum terbabas ke atas pembahagi jalan dan terbakar.

"Seorang lelaki ditemukan rentung dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Abd Khalid berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk proses bedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Beliau berkata, sekiranya terdapat ahli keluarga tidak dapat dihubungi atau tidak pulang dalam masa 24 jam diminta hubungi pihak polis.

"Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat juga diminta menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Inspektor Ngo Su Siao di talian 016-9231558 atau balai polis berdekatan," katanya.

Pada Ahad, media melaporkan seorang individu ditemukan rentung di dalam sebuah kereta Proton Persona yang terbakar berhampiran sebuah pusat membeli belah.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Norazam Khamis berkata, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang bersama sebuah jentera telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

Selepas api padam sepenuhnya, bomba mendapati mangsa yang berada di dalam kereta telah rentung.