Sila log masuk terlebih dahulu.

Selangor catat satu lagi kes rabies babit warga emas

Gambar hiasan (Gambar kecil: Dr Sha'ari)
Gambar hiasan (Gambar kecil: Dr Sha'ari)
A
A
A

SHAH ALAM - Terdapat satu lagi kes rabies baharu di Selangor membabitkan seorang lelaki warga emas yang disahkan di Kuala Langat pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, lelaki itu sebelum ini telah dimasukkan ke wad di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang pada 20 April lalu setelah dirujuk oleh Klinik Kesihatan Telok Panglima Garang kerana masalah anaemia (pucat).

Menurutnya, pemeriksaan mendapati lelaki berusia 85 tahun itu mempunyai luka di kaki kanannya yang tidak sembuh sejak dua bulan lalu.

"Sejak dua minggu lalu, lelaki terbabit mengadu sakit kepala dan hilang selera makan, malah ahli keluarganya turut mendapati tingkah lakunya berubah," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dr Sha'ari berkata, pesakit terbabit mempunyai sejarah digigit anjing liar di kawasan kediamannya di Pulau Carey dua bulan lalu.

Bagaimanapun, katanya, rawatan telah diambil di beberapa klinik swasta di sekitar tempat kediamannya sehingga ia dirujuk oleh Klinik Kesihatan Telok Panglima Garang ke HTAR.

"Pesakit merupakan seorang warga emas yang aktif dan mampu menguruskan diri sendiri," ujarnya.

Jelas beliau, sampel cecair tulang belakang (CSF) dan biopsi nuchal telah dilakukan pada Jumaat lalu dan disahkan positif rabies oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), bagaimanapun keadaan pesakit stabil dan masih dirawat di wad isolasi, HTAR

Artikel Berkaitan:

Dr Sha'ari berkata, sehingga kini, jumlah kes rabies di Selangor mencatatkan dua kes selepas kejadian pertama dilaporkan pada 4 April lalu.

Menurut beliau, jangkitan rabies dapat dielakkan dengan mengambil langkah-langkah pencegahan seperti mencuci bahagian tubuh digigit anjing atau haiwan lain menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur.

Selain itu, katanya, orang ramai diminta mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital terdekat jika digigit haiwan peliharaan atau anjing liar.

"Orang ramai juga digalakkan sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan cuci tangan dengan betul menggunakan air dan sabun selepas menyentuh haiwan peliharaan," ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, orang ramai dinasihatkan sentiasa mengambil tindakan sekiranya anjing atau kucing peliharaan didapati berubah tingkah laku termasuk menjadi agresif agar mendapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) berhampiran.

Katanya, antara langkah lain seperti laporkan kematian haiwan peliharaan yang tidak diketahui sebabnya kepada DVS untuk siasatan selanjutnya.

"Laporkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal dan elakkan diri dari digigit oleh anjing atau haiwan liar.

"Jangan biarkan haiwan peliharaan berkeliaran atau membuangnya di kawasan-kawasan awam," ujarnya.

Justeru, tegas beliau, JKN Selangor akan terus memantau situasi rabies di negeri ini dan akan berkongsi maklumat terkini berkaitannya dengan DVS Selangor bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan dilaksanakan dengan segera.

"Orang ramai dipohon untuk mematuhi semua nasihat kerajaan dan pihak berkuasa bagi memastikan rabies di negeri ini dapat dikawal, khususnya di Daerah Petaling, Kuala Langat dan daerah-daerah yang berdekatan," jelas beliau.