Syarikat swasta terlibat SEMy2030 dikecualikan cukai pendapatan

Ismail Sabri beramah mesra bersama dengan pengunjung yang hadir selepas pelancaran Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial Malaysia 2030 (SEMy2030) di Mitsui Lalaport Bukit Bintang, pada Sabtu. Noh hadir sama. - Foto Bernama
Ismail Sabri beramah mesra bersama dengan pengunjung yang hadir selepas pelancaran Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial Malaysia 2030 (SEMy2030) di Mitsui Lalaport Bukit Bintang, pada Sabtu. Noh hadir sama. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat swasta yang turut serta menjayakan usaha memperkasakan perusahaan sosial di bawah Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial Malaysia 2030 (SEMy2030), akan diberikan pengecualian cukai pendapatan selama tiga tahun.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar berkata, pengecualian itu adalah antara faedah yang ditawarkan kerajaan untuk menggalakkan pihak swasta memberi bantuan sosial kepada golongan rakyat yang memerlukan.

Katanya, walaupun kerajaan telah memberikan pelbagai bantuan kepada golongan memerlukan selama ini, namun sokongan daripada pihak swasta masih diperlukan bagi memberi pembelaan berterusan kepada mereka.

"Untuk itu, syarikat swasta boleh menawarkan sebagai contoh penduduk kampung untuk menghasilkan produk jahitan mereka dan kerana usaha itu, syarikat akan mendapat faedah daripada kerajaan seperti dikecualikan daripada cukai pendapatan bagi beberapa tempoh tertentu.

"... tetapi bagi membolehkannya mendapat pengecualian, kami akan buat penilaian dahulu kepada syarikat,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial Malaysia 2030 (SEMy2030) di sini, pada Jumaat.

Noh berkata, KUSKOP tidak menetapkan sebarang kriteria untuk penyertaan usaha pemerkasaan itu, asalkan matlamat syarikat berkenaan adalah untuk memberikan impak positif kepada kumpulan sasar seperti golongan B40, ibu tunggal masyarakat Orang Asli, bekas banduan dan bekas penagih dadah.

Katanya, melalui SEMy2030, kerajaan berharap dapat meningkatkan perolehan perusahaan sosial negara kepada RM2.6 bilion pada 2030 berbanding kira-kira RM100 juta ketika ini.

Noh juga berharap SEMy2030 dapat menawarkan 92,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan berdasarkan sasaran untuk mewujudkan 10,000 perusahaan sosial dalam tempoh sama.

Pada masa ini, dilaporkan hanya terdapat 414 syarikat perusahaan sosial dalam negara dan ia telah menyediakan 3,500 peluang pekerjaan kepada rakyat.

Sebelum itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan SEMy2030 yang menyediakan hala tuju nasional yang baharu kepada pembangunan keusahawanan sosial di Malaysia.

SEMy2030 menggariskan lima objektif yang sejajar aspirasi, strategi dan inisiatif ditetapkan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-12. - Bernama