80 tahanan lari dari depot belum ditemui

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad
Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 80 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Sementara Imigresen Relau di Bandar Baharu, di sini masih belum ditemukan setakat Jumaat.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, jumlah tahanan yang belum ditemui itu membabitkan 65 lelaki, lapan wanita dan tujuh kanak-kanak perempuan.

Bagaimanapun beliau memberitahu, seramai 448 tahanan etnik Rohingya daripada 528 tahanan yang meloloskan diri dari depot tahanan itu pada Rabu telah ditemui.

"Setakat ini, tahanan yang ditemui itu membabitkan 229 lelaki, 89 wanita, 69 kanak-kanak lelaki dan 61 kanak-kanak perempuan

"Jumlah tahanan terkini yang ditempatkan di depot adalah seramai 15 tahanan melibatkan 13 lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan seramai kira-kira 700 tahanan dari Depot Sementara Imigresen Relau dilaporkan melarikan diri dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi.

Daripada jumlah itu, enam tahanan yang cuba melintas di Kilometer 165 Lebuhraya Utara Selatan maut dilanggar kenderaan dalam kejadian lebih kurang jam 6.50 pagi.

Mangsa maut terdiri daripada masing-masing dua lelaki dan wanita dewasa manakala masing-masing seorang kanak-kanak perempuan dan lelaki.