Tiga remaja maut, seorang parah motosikal bersaing sesama sendiri

Keadaan sebuah motosikal yang terlibat kemalangan maut di Jalan Tembikai Utama, Taman Kota Masai, Pasir Gudang pada malam Jumaat.
Keadaan sebuah motosikal yang terlibat kemalangan maut di Jalan Tembikai Utama, Taman Kota Masai, Pasir Gudang pada malam Jumaat.
A
A
A

PASIR GUDANG - [DIKEMAS KINI] Tiga remaja maut manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan melibatkan empat motosikal di Jalan Delima, Taman Kota Masai di sini pada malam Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, tiga mangsa maut merupakan remaja bawah umur berusia antara 15 hingga 16 tahun manakala seorang lagi yang parah berusia 17 tahun.

"Dalam kejadian kira-kira pada jam 10.30 malam itu berlaku semasa mereka menunggang motosikal telah bersaing sesama sendiri sebelum bergesel dan mengakibatkan kemalangan.

"Akibat insiden tersebut, tiga mangsa telah tercampak di atas jalan dan terlanggar batu berumput di bahu kiri jalan manakala seorang mangsa jatuh di batu berumput di bahu kanan jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai terutama ibu bapa dinasihatkan agar memantau pergerakan anak-anak terutama yang masih di bawah umur supaya tidak membenarkan mereka menunggang motosikal atas jalan raya dan tidak terlibat dengan aktiviti lumba haram," katanya.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi kemalangan mendapati, darah dan cebisan daging mangsa bertaburan di pinggir jalan tersebut sebelum dibersihkan penduduk setempat.

Sementara itu, seorang saksi yang juga rakan mangsa hanya mahu dikenali sebagai Apit, 16, berkata, kemalangan berlaku membabitkan dua kumpulan penunggang motosikal.

"Motosikal mereka kemudian bertembung sesama sendiri dari arah bertentangan. Semasa kejadian banyak motosikal yang terlibat tetapi mereka semua melarikan diri selepas kemalangan tersebut.

"Saya lihat tiga mangsa nazak di tempat kejadian termasuk rakan saya manakala seorang lagi dikatakan kritikal," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian pada Jumaat.