Selangor berputih mata di Gong Badak

Kapten TFC, Tchetche Hermann Brice Kipre (tiga dari kiri) bersama rakan sepasukan meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol semasa menentang pasukan Selangor FC pada saingan Liga Super Malaysia 2022 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam Jumaat. - Foto Bernama

A
A
A

HASRAT Selangor FC untuk mencari tiga mata penuh di Gong Badak tidak kesampaian apabila tewas 2-0 kepada Terengganu FC (TFC) pada saingan Liga Super 2022 sebentar tadi.

Terengganu yang mempunyai kelebihan bermain di laman sendiri bermula garang apabila membuka tirai melalui pemain sayapnya, Faisal Halim pada minit ke-20.

Tersentak dengan gol tersebut, Selangor kembali mengatur permainan dengan melancarkan beberapa serangan bahaya ke arah kubu lawan namun tiada sebarang jaringan berjaya terhasil sekaligus kedudukan 1-0 kekal hingga tamat wisel separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Selangor sekali lagi dihukum apabila Terengganu dihadiahkan sepakan penalti yang berjaya disudahkan oleh Kipre Tchetche pada minit ke-59.

Tuan rumah hampir berjaya untuk mendapatkan gol ketiga perlawanan namun rembatan Manuel Ott terlepas peluang dalam kotak penalti sedikit tersasar dan kedudukan 2-0 itu kekal hingga wisel penamat ditiup.

Kemenangan TFC itu menyaksikan skuad Penyu kini berada di tempat ketujuh selepas berjaya mengumpul enam mata hasil empat perlawanan, manakala Selangor pula turun satu anak tangga untuk berada di kedudukan kelapan liga.