Nafuzi tiada niat sekat pemain

Nafuzi
Nafuzi
A
A
A

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mengakui terpaksa membuat keputusan sukar untuk tidak melepaskan lima pemainnya ke Sukan SEA Hanoi yang dijadualkan berlangsung pada 12 hingga 23 Mei ini.

Menurut Nafuzi, beliau amat berbangga dengan pengiktirafan yang diberikan terhadap anak-anak buahnya, namun khidmat mereka lebih diperlukan skuad Penyu buat masa ini.

Beliau memberitahu, lima pemain yang dipanggil merupakan tonggak kesebelasan utama TFC dan ketiadaan mereka pastinya akan menjejaskan corak permainan yang telah dirancang rapi sebelum ini.

“Saya bukan jenis yang suka sekat pemain. Malah, saya bangga kerana pemain Terengganu diiktiraf bakatnya oleh negara dan berpeluang melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa.

“Tetapi buat masa ini, kedudukan TFC dalam liga masih belum kukuh, saya perlu khidmat mereka untuk mara dan kita tidak ada pemain yang cukup untuk ganti kekosongan mereka,” katanya.

Lima pemain TFC terbabit ialah Nik Akif Syahiran Nik Mat, Azam Azmi Murad, Syafiq Ismail, Hairiey Hakim dan penjaga gol utama, Rahadiazli Rahalim.

Menurut pengendali berusia 44 tahun itu, beliau juga telah berbincang dengan lima pemain tersebut sebelum membuat keputusan akhir dan kesemuanya akur serta memahami situasi berkenaan.

“Saya juga ada menghubungi ketua jurulatih negara, Brad Maloney untuk membincangkan perkara itu dan beliau dapat menerima dengan baik serta memahami masalah yang kita hadapi,” ujarnya.

Acara bola sepak Sukan SEA Hanoi bakal bermula pada 6 Mei dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Thailand, Singapura dan Laos. - Bernama