TH keluarkan surat tawaran tunai haji mulai Isnin ini

Lembaga Tabung Haji
Lembaga Tabung Haji
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengeluarkan surat tawaran bagi menunaikan ibadah haji mulai Isnin ini dan 14,306 bakal jemaah terpilih perlu menjawab dalam tempoh tujuh hari bekerja.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, urusan dokumentasi perlu disegerakan memandang tempoh singkat menjelang musim haji tahun ini.

Menurutnya, jemaah terpilih perlu menjawab surat tawaran berkenaan sama ada setuju atau sebaliknya untuk menunaikan haji tahun ini.

"Apabila kita mengeluarkan Surat Tawaran Haji pada Isnin nanti, diminta jemaah bekerjasama dengan Tabung Haji menyegerakan semua urusan supaya dapat menjawab surat tawaran ini setuju atau tidak dalam tempoh tujuh hari bekerja.

"Mereka kena siapkan pasport, pemeriksaan kesihatan, sijil vaksinasi tiga dos lengkap dan cukupkan wang bayaran haji dalam akaun Tabung Haji,” katanya pada sidang akhbar pada Jumaat.

Tempoh biasa bagi menjawab surat tawaran dari TH adalah 30 hari, bagaimanapun tempoh itu terpaksa dipendekkan berikutan Arab Saudi baharu mengumumkan kuota negara-negara terlibat.

Penerbangan pertama jemaah Malaysia yang bakal menunaikan haji juga dijadualkan pada 1 Mei.

Amrin menjelaskan, TH tidak menetapkan sebarang kuota mengikut kategori jemaah sebaliknya pemilihan bakal jemaah adalah berdasarkan senarai terdahulu.

Katanya, TH akan mengutamakan kira-kira 60,000 bakal haji giliran tunai haji pada tahun 2020 dan 2021 sebelum giliran tahun 2022.

"Ini adalah berdasarkan sistem pendaftaran haji berasaskan prinsip yang dahulu didahulukan. Rayuan haji melalui platform atas talian THiJARI juga telah dibuka dengan memberi keutamaan kepada rayuan mahram," katanya.