Sindiket pinjaman wang tanpa lesen tumpas, enam lelaki ditahan

Enam suspek yang ditahan di ruang pejabat disewa di Kuala Lumpur pada Rabu.
Enam suspek yang ditahan di ruang pejabat disewa di Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sindiket pinjaman wang tanpa lesen yang dipercayai aktif sejak dua tahun lalu tumpas selepas pengkalan operasi mereka yang terletak di Menara K1, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur diserbu dalam satu operasi pada Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, serbuan dibuat kira-kira jam 11.30 pagi itu turut menahan enam lelaki warga tempatan yang berusia 24 hingga 31 tahun.

“Lokasi diserbu ini adalah ruang pejabat yang disewa untuk dijadikan pusat panggilan dengan menawarkan pinjaman kepada orang ramai. Ia juga menggunakan taktik berselindung sebagai sebuah pusat pembiayaan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini juga telah menjalankan kegiatan pinjaman wang tanpa lesen sejak dua tahun lalu dengan tawaran pinjaman sebanyak RM300 hingga RM20,000,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Shahurinain berkata, sindiket itu juga dipercayai boleh mengaut keuntungan lebih dengan mengenakan faedah pinjaman tinggi antara 10 peratus hingga 30 peratus kepada peminjam.

“Pemeriksaan di lokasi serbuan juga turut menemui beberapa barangan berupa telefon bimbit, kad sim, pencetak, borang pinjaman dan buku yang mengandungi senarai peminjam.

“Polis Johor ingin menasihati orang awam untuk tidak terlibat dengan sindiket ini mahupun meminjam wang daripada pihak seperti ini. Ia kerana faedah dikenakan adalah sangat tinggi dan boleh mendatangkan bahaya hutang tidak dijelaskan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 sementara enam suspek ditahan kini berada dalam perintah reman selama empat hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan.