Polis Johor laksana 58 serbuan Ops Noda

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 58 serbuan dilakukan ke atas premis disyaki menjalankan aktiviti pelacuran di negeri ini sepanjang tempoh Ops Noda dilancarkan bermula 16 Mac lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, daripada serbuan tersebut, pihaknya berjaya menyelamatkan 107 wanita warga asing daripada terlibat dalam kegiatan pelacuran di pusat hiburan dan rumah urut.

"Mereka terdiri daripada lapan wanita warga China, 26 wanita warga Indonesia, 27 wanita warga Thailand, 45 wanita warga Vietnam dan seorang wanita warga Sri Lanka.

"Sementara itu, seramai 11 wanita tempatan, 59 lelaki tempatan dan 10 lelaki warga asing telah ditahan kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti tidak bermoral itu, sebagai penjaga, pemilik dan pelayan premis pusat hiburan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Mohd Khalil berkata, dalam serbuan tersebut, polis turut menyelamatkan 46 wanita warga Vietnam, tiga wanita warga Indonesia, dua wanita warga Thailand dan seorang wanita warga Myanmar yang disyaki dipaksa bekerja sebagai pelayan pelanggan di pusat hiburan dan memberi perkhidmatan seks.

Katanya, selain itu, sebanyak 16 saman dikeluarkan kerana premis hiburan beroperasi tanpa lesen perniagaan di bawah Enakmen Hiburan Negeri Johor 1998.

"Sebanyak empat saman ke atas premis yang melanggar syarat lesen atau menjalankan perniagaan melebihi had waktu yang ditetapkan.

"Polis Johor sentiasa komited untuk membanteras gejala ini dengan meningkatkan pemantauan ke atas sasaran-sasaran yang dikenal pasti dan menjalankan operasi secara berterusan," katanya.

Artikel Berkaitan: