Cadangan dalam ulasan LPPR akan segera dikemukakan kepada PM: Rais

Rais Yatim
Rais Yatim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Buku ‘Ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) 2020’ yang menggariskan tujuh cadangan penambahbaikan usaha memerangi rasuah di negara ini akan segera dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kata Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Dr Rais Yatim.

Rais yang juga Yang Dipertua Dewan Negara berkata, JKMR akan turut memohon supaya Perdana Menteri membuat pernyataan awam kepada orang ramai mengenai buku berkenaan supaya laporan itu turut menjadi penelitian umum.

“Setakat ini, apa-apa dikemuka kepada beliau sebagai Perdana Menteri tidak diketahui (umum). Kalau itu berlaku jangkaan masyarakat akan hambar. Saya akan cuba sumbangkan semangat supaya kerajaan sama-sama rancak dalam usaha perangi rasuah dari segi perundangan dan realiti,” katanya selepas menerima buku Ulasan Tahun 2020 LPPR daripada Pengerusi LPPR Tan Sri Abu Zahar Ujang di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Abu Zahar dalam ucapannya berkata cadangan penambahbaikan yang pertama dalam ulasan LPPR ialah mempercepatkan penggubalan undang-undang berkaitan salah laku penjawat awam.

“LPPR memandang serius terhadap kes-kes salah laku pegawai badan awam yang melibatkan ketirisan dan kerugian dana kerajaan secara sengaja,” katanya.

Beliau berkata, cadangan kedua ialah mempercepatkan penggubalan undang-undang berkaitan ‘beneficial ownership’ untuk mewujudkan peruntukan baharu di bawah Akta 694 yang menghendaki sesuatu organisasi komersial atau mana-mana individu membuat pengisytiharan berhubung pemunya benefisial.

“Peruntukan baharu ini membolehkan SPRM menyiasat pemunya benefisiari berhubung sesuatu kepentingan dalam perolehan kerajaan. Ini merangkumi kesalahan oleh organisasi komersial atau seseorang individu dalam perolehan dan penjualan projek/tender kerajaan kepada pihak lain untuk faedah kewangan tanpa melaksanakan projek/tender tersebut,” kata Abu Zahar.

Menurut beliau, buku ulasan itu juga mencadangkan penggubalan undang-undang berkaitan dana politik, pemantauan keberkesanan pembangunan pelan antirasuah organisasi dan penubuhan jawatankuasa pilihan khas hal ehwal antirasuah di bawah Parlimen.

Dua lagi cadangan ialah penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah Malaysia dan hebahan umum laporan tahunan JKMR yang diluluskan oleh Parlimen. - Bernama