Sila log masuk terlebih dahulu.

Agong, Raja Permaisuri ucap takziah kepada keluarga Ali Hamsa

Catatan di Facebook Istana Negara, hari ini.
Catatan di Facebook Istana Negara, hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Tan Sri Dr Ali Hamsa yang meninggal dunia hari ini.

Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian bekas Ketua Setiausaha Negara itu dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana sedih serta pilu ini.

"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” menurut catatan di Facebook Istana Negara, hari ini.

Menerusi catatan itu, Seri Paduka berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada perkhidmatan awam dan negara selain menyifatkan pemergiaan Ali sebagai satu kehilangan besar buat perkhidmatan awam dan negara.

Pemergian Ali pagi tadi di Hospital Dublin, Ireland disahkan isterinya Puan Sri Rohani Abdullah melalui satu kenyataan yang turut memaklumkan urusan pengebumian akan dilakukan di Putrajaya.

Ali di sepanjang kariernya telah menabur bakti di pelbagai kementerian dan jabatan kerajaan sejak memulakan khidmatnya di Perkhidmatan Tadbit dan Diplomatik pada 1981.

Beliau pernah berkhidmat di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Kementerian Pengangkutan; Unit Perancang Ekonomi dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) selain pernah memegang jawatan sebagai pengerusi Program Perumahan 1Malaysia; ahli Jawatankuasa Pakar Pentadbiran Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN CEPA) dan pengerusi Institut Integriti Malaysia. - Bernama

Artikel Berkaitan: